Wednesday, April 13, 2011

Tok Kenali- Tokoh Ulama' Pencinta Ilmu





Seandainya kita meneliti sejarah hidup tikih Ulama’ Tok Kenali, sudah tentu kita akan merasa kagum kerana melihatkan sepenuh hayat beliau dicurahkan kerana ilmu pengetahuan demi mencari keredhaan Allah.Hal ini bermula sejak umur beliau sebelum mumaiyiz hingga selepas beliau menjelang baligh. Sebelum ke Mekah lagi, Tok Kenali telah mula menyumbangkan baktinya dengan mengajarkan ilmu agama dan ilmu nahu, bahasa arab di kampungnya sendiri.


Sesudah itu beliau ke tanah suci kerana melanjutkan pelajaran. Beliau berada di sana selama 22 tahun. Di kota suci itulah Tok Kenali tidak ketinggalan menyumbangkan ilmu pengetahuan kepada rakan-rakan sejawatnya yang datang dari berbagai pelusuk dunia ketika itu.


Seterusnya apabila beliau pulang ke tanah air pada tahun 1327H (1908M), beliau tidak berlengah-lengah bagi menyambungkan tugas para ulama’ sebagai mewarisi tugas perjuangan para nabi sehinggalah beliau menghembuskan nafas yang terakhir pada tahun 1352H (1933M).

Melihat kepada latar belakang riwayat hidup Tok Kenali, kita dapati beliau mendapat pendidikan yang pertama di rumahnya sendiri. Manakala pelajaran yang beliau mula tempuhi ialah Kitab suci Al-Quran Al-Karim, iaitu dengan mempelajari bacaannya. Al-Quran menjadi punca Nur yang memberi cahaya kepada Tok Kenali sehingga beliau faham dan dapat mengingati ilmu pengetahuan.Tegasnya Al-Quranlah sebagai punca ilmu kepada Tok Kenali.

Selain dari mendapat pendidikan di kampung beliau sendiri, Tok Kenali juga mendapat pengetahuan dan pengalaman di tempat-tempat lain. Ketika beliau giat menuntut ilmu di Masjidil Al-Haram, istimewa dari Tuan Guru Wan Ngah (Ahmad Bin Muhammad Zin Bin Mustafa) Petani yang menguasai bahasa Arab dan mahir dalam lain-lain ilmu termasuk sains, Tok Kenali tidak ketinggalan menerima pengaruh ajaran Hujjatul Islam, Iman Al-Ghazali yang terdapat di hujung kitabnya ‘Ayyuha Al-Walad’ (Wahai anak) menjadi amalan Tok Kenali dan ikutan murid-murid beliau hampir diseluruh dunia sebelah sini.

Tok Kenali juga adalah seorang penasihat Agama kepada negarawan terkenal di Kelantan iaitu Datuk Perdana Menteri Paduka Raja Kelantan, Tuan Nik Haji Mahmud Ismail. Bahkan Tok Kenali diketahui berfahamkan bahawa ‘memisahkan agama (Islam) dari politik adalah beerti menanggalkan kepala dari tubuh, dan di kala itu keduanya akan meghadapi kehancuran.’

Selain daripada itu jiwa Tok Kenali juga tidak dapat dipisahkan daripada bidang persuratan.Malah bidang persuratan itu merupakan suatu minat dan lapangannya. Tok Kenali berminat dalam bidang ini kerana beliau adalah seorang yang cintakan ilmu pengetahuan dan inginkan ilmu pengetahuan itu kekal dan dapat dinikmati pula oleh semua orang selepasnya.Berdasarka fakta itu tidak hairanlah mengapa Tok Kenali menceburkan diri dalam pelbagai bidang ilmu seperti beliau adalah seorang penulis yang pernah menulis dalam majalah “pengasuh”(keluaran sulung). Disamping beliau juga turut mengarang buku atau kitab. Antara kitab-kitab karangan Tok Kenali ialah :

i. ‘Khasiat binatang-binatang’.Buku ini pernah tersimpan di dalam perpustakaan Universiti Malaya, Kuala Lumpur di bawah tajuk pengarang Awang Kenali.Malangnya buku iti hilang dari simpanan.ii. ‘Kitab Mujarabaat’.Suatu naskhah kitab ini memang ditulis nama pengarangnya iaitu ‘Awang Kenali’, namun begitu kitab cetakan yang baru tidak lagi menggunakan nama pengarang Awang Kenali (Ianya dikosongkan sahaja diruangan pengarang).

Dalam pada itu, di Majalah Pengasuh keluaran sulung, tentang kecintaannya terhadap ilmu, Tok Kenali pernah menulis, antara kata-katanya ialah :-‘.......maka cintalah saya dengan harapan bahawa diadakan pada tiap-tiap sebuah negeri di dalam semenanjung Tanah Melayu kita ini sekurang-kurangnya satu surat Khabar yang dipunyai oleh anak negeri sendiri supaya menepati ia utusan yang bijaksana menyeru kepada bersekutu dan BERSATU pada tiap-tiap pekerjaan yang mendatangkan muslihat bagi watan, bangsa dan agama....’

Tok Kenali juga dikatakan pernah mengumpul atau menyimpan hasil Kesusasteraan Lama Melayu iaitu “Cetera Raja Muda”. Ini menunjukkan minat beliau dalam persuratan sejarah dan pengumpulan ilmu pengetahuan.

Menurut majalah Pengasuh, Tuk Kenali sendiri pernah berkhidmat sebagai Ketua Pelajaran Agama Islam Kelantan, Anggota Dewan Ulama’ dan Anggota Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan yang menjalankan khidmat dengan cemerlang sehingga beliau menghembuskan nafas terakhir.
Suatu usaha beliau yang patut dicontohi dalam bidang penulisan ialah beliau mempraktik dan memberi galakan sewajarnya dalam bidang persuratan atau penulisan, perkembangan buku, kitab, majalah dan akhbar.

Nyata sekali Tok Kenali adalah seorang tokoh ulama’ pencinta ilmu pengetahuan agama dan ilmu pengetahuan umum (termasuk sains).Beliaulah yang menggerak pembangunan selari dengan masa, tempat dan perkembangan masyarakat dizamannya.

Ketika hayatnya, Tok Kenali tidak kenal erti putus asa serta penat dalam berjuang dengan gigih kerana menghidup dan mengembangkan ilmu pengetahuan Islam selama suku abad , tanpa gaji atau upah daripada sesiapa. Perjuangan Tok Kenali adalah benar-benar merupakan suatu perjuangan ikhlas yang patut menjadi contoj bagi pejuang-pejuang dan pendakwah-pendakwah Islam masa kini dan masa depan.Semoga Allah mengganjari amal bakti Tok Kenali setimpalnya

No comments:

Post a Comment