Wednesday, September 20, 2017

SIRI TOK ALI:"Ilmu Penunduk: Dosa di Atas Bantal"

"Ilmu Penunduk: Dosa di Atas Bantal"

Petang itu, aku menerima teks daripada Tok Ali. Ada satu kes di Seremban—seorang wanita yang sering meroyan tanpa sebab. Seperti biasa, jika ada kes berkaitan gangguan, Tok Ali akan mengajakku untuk menemani dan membantunya.

Tok Ali, lelaki berusia lingkungan 60-an, kelihatan sederhana. Sekali pandang, tiada langsung aura seorang perawat. Gemar berbaju Melayu hitam dipadankan dengan seluar jeans ketika merawat, gaya yang sedikit pelik. Kadang-kadang, keluarga pesakit menyangka akulah perawatnya, mungkin kerana penampilanku yang lebih ‘ustaz’ dengan janggut yang kemas. Bila diberitahu Tok Ali yang sebenarnya perawat, mereka hanya tersipu malu.

Malam itu, kami menaiki motosikal ke rumah pesakit. Menurut Tok Ali, sudah tiga kali suami pesakit memohon pertolongannya, tetapi entah mengapa, ada saja halangan sebelum ini. Malam ini, janji harus ditunaikan.

Setibanya di sana, suami pesakit menyambut kami. Rumah teres dua tingkat itu bersih dan tersusun rapi. Bau harum menyeruak dari ruang tamu. Hati kecilku berkata, isterinya pasti seorang yang rajin mengemas.

Suaminya, seorang jurutera di sebuah syarikat swasta di Kuala Lumpur, kelihatan mesra. Dua anak kecil mereka yang berumur empat dan enam tahun leka bermain di sudut ruang tamu. Aku hanya memerhati, sesekali mencuri dengar perbualan antara Tok Ali dan lelaki itu.

Tiba-tiba, aku berasa sejuk di tengkuk, bulu roma meremang. Aku cuba mengabaikannya.

Tidak lama kemudian, si isteri muncul membawa dulang berisi kopi panas. Dia seorang wanita awal 30-an, berkulit putih persis keturunan Cina, bertubuh sederhana dan bertudung kemas. Dia duduk bersimpuh di sisi suaminya, tetapi yang membuatku tidak selesa—dia menjeling tajam ke arahku! Namun, apabila memandang Tok Ali, dia tersenyum manis. Pelik.

Tok Ali meletakkan cawan kopi dan memulakan bicara.

“Apa sebenarnya masalah isteri tuan?”

Suaminya menarik nafas panjang sebelum bersuara.

“Saya dah puas berikhtiar, Tok. Dah jumpa ramai perawat, tapi keadaan isteri saya tetap sama.”

Dia kemudian menyuruh anak-anak masuk tidur sebelum menyambung, “Isteri saya boleh dirasuk bila-bila masa. Kadang-kadang dia berubah menjadi nenek tua, kadang-kadang seperti seekor harimau—menggeram, mencakar lantai. Lepas bersalin anak ketiga ini, makin teruk keadaannya.”

Tiba-tiba, dia berbisik kepada Tok Ali dengan wajah cemas. “Saya juga selalu nampak kelibat wanita berbaju putih dalam rumah ini. Rambutnya ikal, panjang, hitam pekat. Setiap malam. Dia tak mengganggu, hanya menjelma. Tapi, apa saja ayat yang saya baca, tak memberi kesan!”

Tok Ali mengangguk. “Baik, kita mulakan rawatan.”

Permulaan Rawatan

Tok Ali meminta pesakit melunjurkan kaki dan menutupinya dengan kain. Aku ditugaskan membaca ayat ruqyah di belakangnya. Sebenarnya, aku bukanlah pakar, hanya membaca dari kitab kecil yang Tok Ali beri.

Ketika azan dilaungkan ke telinga wanita itu, aku tiba-tiba merasakan angin dingin menyapa wajah. Tanpa sedar, aku menggigil. Tok Ali mengibas belakang pesakit dengan sejadah sambil bersuara lantang:

“Keluarlah kau wahai musuh Allah!”

Beberapa kali diulang. Dan tiba-tiba—

“Grrrr… Grrrr… ARGGGHHH!”

Wanita itu berpaling kepadaku, menjerit dengan suara garau! Aku tersentak. Wajahnya bengis, gerak-gerinya seperti seekor harimau yang mahu menerkam.

“Pergi kau! Kau tak layak mengubat aku!”

Seram sejuk tubuhku. Tidak sedar aku sudah berada di belakang Tok Ali.

Tok Ali meminta suaminya menyedarkan isterinya. Dia tidak suka berdialog dengan gangguan. Cukup sekadar mengesahkan bahawa pesakit benar-benar mengalami gangguan.

Setelah dipujuk, wanita itu kembali sedar, tetapi air matanya bercucuran. Tok Ali memandangnya tajam.

“Letakkan tangan di dada kiri. Pejam mata, dengar arahan Tok.”

Wanita itu menurut.

“Bayangkan wajah ibu dan ayah. Maafkan mereka. Jika sudah selesai, angkat jari.”

Air matanya semakin deras.

“Sekarang, bayangkan wajah suami. Maafkan dia.”

Belum sempat Tok Ali menghabiskan ayat, wanita itu terus meraung, memeluk kaki suaminya.

“Maafkan saya, abang! Saya bersalah… Saya bersalah, bang!”

Suaminya terpinga-pinga. “Kenapa ni, sayang?”

Wanita itu teresak-esak. “Selama ini saya menipu abang. Saya amalkan ilmu ‘tepuk bantal’ sebelum kita kahwin supaya abang sayang saya, supaya abang pilih saya jadi isteri! Saya takut abang tinggalkan saya kalau abang tahu.”

Suaminya menggeleng, terpaku. “Apa yang awak dah buat ni… Allahuakbar…”

Dia terduduk, wajahnya keliru. Namun, dalam esakan isterinya, dia mencapai tangan wanita itu dan menggenggam erat. “Saya maafkan awak…”

Tok Ali menghela nafas. “Alhamdulillah, pengakuan ini memutuskan ikatan ilmu itu.”

Penutup

Sesi rukyah diteruskan untuk membuang sisa gangguan. Tok Ali juga mengajarkan suami isteri itu zikir bagi menguatkan jiwa mereka. Hati yang kosong dari mengingati Allah mudah menjadi sasaran gangguan.

Selesai rawatan, kami meminta diri. Sebelum pulang, seperti biasa, kami singgah mengeteh.

Aku mengusik Tok Ali. “Mudah betul rawatan tadi, Tok.”

Tok Ali menjeling. “Mudah kau kata? Masa kau berangan, aku bertempur dengan ‘hantu’ ilmu tu! Separuh wajahnya cantik, separuh lagi buruk. Dia serang aku, kau tahu? Kau pulak main senyap je!”

Aku tersengih. “Err… Manalah saya tahu, Tok.”

Tok Ali hanya menggeleng. “Nanti kalau nak ikut kes Puteri Bunian minggu depan, kuatkan dulu zikir kau.”

Aku tersenyum. “Bila, Tok?”

Tok Ali bangun, menepuk bahuku. “Bila kau dah bersedia.”

Dan aku tahu, malam ini satu pengajaran besar aku pelajari.

TAMAT.


 

Tuesday, September 12, 2017

LADANG AMAL


Ada ketikanya kita merasa sedikit ‘down’. Dalam saat-saat begini, ingatlah bahawa dunia ini ibarat taman dan kebun. Semakin kita berbakti dan bercucuk tanam, semakin banyak hasil yang kita tuai.

Jadikan ia sebagai ladang amal—semakin banyak kebaikan yang kita lakukan, semakin banyak bekalan kita untuk akhirat.

Anggaplah dunia ini sebagai lombong rezeki dan peluang. Semakin rajin kita berusaha dan mencipta ruang, semakin banyak keuntungan yang diperoleh.

Paling penting, biarlah sisi diri yang positif, bersemangat, dan aktif lebih mendominasi daripada yang sebaliknya. 🌱✨

#TerusMelangkah #LadangAmal #MFA


SIRI ANEKDOT: Gentleman Katanya


Gentleman Katanya

Semalam, dalam lif pejabat, saya perhatikan seorang abang yang cukup gentleman. Dia memberi laluan kepada wanita untuk keluar terlebih dahulu. Terinspirasi sungguh!

Tadi, dalam lif yang sama, saya cuba mencontohinya. Masa pintu lif terbuka, saya tidak terus keluar. Saya hulurkan tangan, memberi isyarat kepada beberapa akak comel untuk keluar dulu.

“Silakan,” kata saya dengan senyuman penuh keyakinan.

Mereka keluar sambil mengucapkan terima kasih, siap menjeling manis. Wah, berjaya!

Tiba-tiba, dari belakang saya terdengar suara garau, penuh jaki—

“Poyolah.”

Baru saya perasan, ada beberapa jantan lain dalam lif.

Ngeh. 😅


ULTRAMAN

Dulu, masa kecil, mak saya selalu berleter, "Sudah-sudahlah tengok cerita Ultraman tu."

Saya tanya, "Kenapa mak?"

Mak jawab, "Nanti kau dah besar, cerita tu masih ada lagi."

Saya tak percaya. Mana mungkin?

Sekarang, bertahun-tahun kemudian… saya tengok anak saya pula khusyuk depan TV. Ultraman masih ada.

Dan tanpa sedar, saya pun berkata:
"Sudah-sudahlah tengok cerita Ultraman tu."

Sejarah berulang.

Ngeh! 😂


Melaka, Raya & Roti Canai

Melaka, Raya & Roti Canai

Sambil menunggu roti canai siap di warung depan rumah, tiba-tiba lagu raya berkumandang. Terus teringat kampung halaman di Melaka. Negeri bersejarah itu, kalau tiba musim perayaan, kau tahu-tahulah—penuh sesak dengan orang ramai. Belum masuk kira lagi yang balik dari Singapura dan pelancong luar yang ambil kesempatan bercuti.

Pernah suatu ketika, nak bungkus roti canai dekat gerai sebelah Maktab Perguruan Melayu Melaka pun payah. Sesak betul dengan kenderaan kiri kanan. Lagi parah, pernah juga kereta aku dilanggar pada pagi raya pertama! Terpaksa ke balai polis di Bandar Melaka, tapi di sana pun sama—penuh dengan orang yang nak buat aduan. Sesak kepala dibuatnya!

Sebab itulah sekarang aku dah ada strategi. Sebelum balik kampung, mesti buat perancangan perjalanan awal-awal. Tanya dulu adik-beradik dan kawan-kawan di Melaka tentang keadaan trafik. Tapi biasanya jawapan mereka tetap sama.

"Sesak, bro."

Aduh! Raya-raya pun boleh stress! 😆


YANG PENTING SETIA


Lepas solat raya kami mengeteh di depan masjid.

"Bang kalau tadi kita dah dengar khutbah.Tengahari nanti tak dengar pun takpa kan?"

"Iskh sapa ajau kau ni. Dua-dua kena pergi ok." Jawab abang saya seorang guru agama di Melaka. Kemudian ada akak persis dari seberang datang mengambil pesanan.

"Mau order apa bang?"

"Tehnya dua ya."

"Manis gak bang?" tanya akak tu lagi.

"Gak perlu manis, yang penting setia!"

Akak tadi tersenyum sinis dan kami bersembang sampai lupa isteri di rumah sedang menunggu.

Ngeh!

DATOK VIDA


"Ayah besok ada DSV tau , kena bawak berus lukisan."

"Nah ambik kotak Nuren Gold ni minta dia sign kat belakang boleh".

Kakak buat muka pelik. "Ayah dah kenapa? Besok ada kelas Dunia Seni Visual lah".

"Ohh sorry ayah ingatkan Dato Seri Vida nak datang tadi.Huh!"

Ngeh!

PADAH JARI TELUNJUK


Teguran Halus Sebelum Jumaat

Sebelum solat Jumaat tadi, saya singgah di sebuah kedai untuk minum. Entah kenapa, kedai itu penuh dengan wanita—kanan, kiri, depan, belakang—semuanya perempuan.

Saya jadi tak senang duduk. Ada yang comel, ada juga yang berpakaian agak seksi.

Ketika hendak bangun, entah bagaimana jari saya tercocok mata kiri sendiri. Pedih bukan main! Berair terus mata. Kejadian berlaku betul-betul saat saya ingin menyarung cermin mata hitam.

Dalam perjalanan ke Masjid Putih Seremban 2, saya teringat pesan guru: Jaga pandangan, tundukkan mata.

Bila difikir balik… memang patutlah mata saya 'ditegur' tadi. Kalau tidak, mungkin saya masih sibuk 'survey' orang lagi. Taubat.

Itu saja nak cerita petang ni.

Ngeh!


KENANGAN BASIKAL TUA


Lepas isi minyak di Petronas Taman Bandar Senawang tadi, saya perasan sekumpulan budak lelaki—umur dalam lingkungan 11 ke 12 tahun—berkumpul dengan basikal masing-masing.

Hon kecil di tepi basikal mereka berbunyi riuh rendah, berwarna-warni pula tu. Anak saya kata itu basikal fixie. Entahlah, ayah dia ni tak berapa faham dunia budak zaman sekarang. Sesekali mereka buat aksi wheelie. Dasyat juga!

Sejujurnya, terganggu juga dengan kehadiran mereka. Tapi bila fikir balik, dulu saya pun kaki basikal. Ada geng sendiri. Habis bandar Melaka kami pusing hanya dengan dua roda.

Cuma beza mereka naik fixie, saya dulu setia dengan basikal tua warna hitam. Siap ada lampu dengan dynamo, ok! Klasik habis.

Itu sajalah nak cerita malam minggu ni.

Ngeh!


NENEK JUTAWAN


Jutawan di Depan Mesin ATM

Kelmarin, saya ke SACC Mall Shah Alam. Saja bawa isteri dan anak-anak berjalan. Saya memang suka ke Shah Alam—bandarnya cantik, orang-orangnya pun baik.

Sedang leka membelek sehelai baju, telefon bergetar. Masuk teks dari pelanggan Nuren Gold. Katanya, duit dah dibank in. Saya kena semak dulu ni, kata hati saya.

Kebetulan, ada ATM Maybank di sebelah kedai jam. Saya terus beratur. Di depan saya, seorang nenek dalam lingkungan 70-an, dengan tangan terketar-ketar memasukkan kadnya ke dalam mesin.

Prosesnya agak lama, jadi saya perhatikan skrin ATM. Dan masa tu, jantung saya hampir gugur—terpapar baki sebanyak RM805,000! Huh!

Saya belum sempat habis ternganga, nenek tadi mengeluarkan kadnya dan memasukkan satu lagi kad lain. Sekali lagi, jumlah yang muncul membuatkan saya tak senang berdiri. RM785,000.

Otak saya pantas membuat kiraan gaya Kumon (terima kasih kepada anak saya yang ajar teknik ni). Jumlah semua? RM1,509,000. Jutawan, ok? JUTAWAN!

Tapi dengan wajah tenang, nenek itu cuma keluarkan RM200 sahaja. Masukkan ke dalam dompet, berpusing, dan berjalan perlahan seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku.

Saya terkesima. Bagaimana nenek ni boleh setenang itu?

Saya ni kalau keluar RM100 pun, jalan mesti tengok kanan kiri, tangan siap sedia dalam poket seluar—berjaga-jaga takut ada yang perhati!

Nenek ni pula? Seorang diri di ATM dengan lebih sejuta dalam akaun? Ini boleh mengundang macam-macam risiko—rompakan, culik, atau lebih buruk lagi.

Bukankah lebih selamat kalau dia minta cucu, suami, atau ahli keluarga menemaninya? Atau paling tidak pun, ambil saya sebagai cucu angkat atau bodyguard peribadi. Itu lebih baik.

Ngeh!


KENAPA ORANG MELAKA CAKAP KASAU?


"Hawau Je Memanjang!"

Pagi itu, selepas Subuh, aku dan seorang rakan singgah bersarapan di kedai Babu, Kampung Sentosa, Senawang. Kau tahu-tahu sajalah, waktu begini kedai penuh dengan orang yang singgah minum sebelum ke tempat kerja. Meriah betul suasananya.

Konsep kedai terbuka macam ni memang ramai suka. Pelanggan bebas pilih sendiri nasi lemak bungkus, kuih-muih, roti canai. Air pun dibuat pantas dan sedap. Udara pagi yang nyaman buat orang tak jemu duduk lama.

Kuih pula beraneka jenis, sampai rambang mata nak pilih. Nasi lemaknya pula masih panas, berasap lagi. Tak pelik kalau kau tengok ada yang boleh telan sampai dua tiga bungkus sekali jalan.

Tengah aku layan teh tarik kaw kaw, tiba-tiba seorang atok berjubah putih datang menyapa. Dia duduk sebelah aku, sambil senyum tenang. Aku agak dia baru habis solat Subuh di masjid berdekatan.

"Anak ni asal mana?" tanya atok memulakan bicara.

"Saya orang Melaka, tok. Kawan saya ni orang Kelate. Masuk suku, jadilah orang Nismilan," jawab aku sambil menyuap nasi lemak suku bungkus terakhir.

Atok ketawa kecil, tepuk tangan aku. "Oh, orang Melaka rupanya. Kau tahu tak kenapa orang Melaka cakapnya kasar-kasar, kuat pula tu?"

Aku angkat kening. "Entahlah, tok. Mana saya tahu. Atok tahu ke?"

Atok angguk penuh gaya. "Dulu, orang Melaka ramai duduk dekat pantai, tepi laut. Kau tahu-tahu sajalah, angin kuat, ombak kuat. Jadi kalau cakap perlahan, memang tak dengar. Terpaksalah tinggikan suara. Lama-lama, terbiasa bercakap kuat. Dah cakap kuat pun kadang-kadang tak dengar, kena maki lah jawabnya. Itu yang jadi kasar tu. Dah melekat sampai ke sudah, walau ke mana pun mereka pergi."

Aku tersengih. Menarik juga teori atok ni. Tapi tak habis lagi rupanya.

"Haaa, sebab tu orang Melaka cakapnya kasau-kasau, hawau je memanjang!"

Kah kah kah! Kami ketawa serentak, memecah keheningan pagi. Dalam hati, entah betul entah tidak cerita atok ni. Tapi nak sanggah, tak sampai hati. Sabau jeler.

Ngeh!






Tuesday, August 22, 2017

"Boy, Kau Dah Ready?"


"Boy, Kau Dah Ready?"

Hari itu. Waktu petang tapi taklah petang sangat. Saya memenuhi jemputan walimatul urus jauh di Kem TUDM Subang. Majlis meriah—ada persembahan silat, nyanyian, dan makanan yang bukan calang-calang. Bubur pulut hitam, cendol, pencuci mulut… dan apam balik?

Jap. Apam balik?!
Ini pertama kali saya tengok apam balik dijadikan hidangan kenduri kahwin. Siap dimasak panas-panas. Rare!

Tengah saya asyik menikmati lagu Biarlah Bulan Berbicara, tiba-tiba datang seorang wanita dalam lingkungan 60-an, lengkap berbusana anggun, lalu menegur.

"Boy, boleh saya duduk sekali?"

Saya, yang sejak tadi duduk dengan penuh sopan, terus bangun menarik kerusi. "Silakan, puan." Gaya gentleman.

Dia duduk. Saya sambung menikmati bubur pulut hitam yang pekat dan manisnya sederhana. Tapi, baru nak suap sesudu—

"Duduk mana, Boy?"

"Senawang," jawab saya, masih tenang. Sedikit demi sedikit sudu hampir ke mulut.

"Anak berapa orang?"

Saya letak sudu. "Tiga, puan."

"Isteri mengandung berapa bulan?"

Saya capai sudu balik. "Lapan bulan dah, puan."

Soalan datang bertubi-tubi. Saya menjawab satu persatu dengan senyuman, dalam hati cuba mengira kalau ini rapid fire round versi kenduri.

Dan akhirnya… datang soalan yang buat saya hampir berdiri sambil bercekak pinggang.

"Boy, rumah kamu tu rumah sewa ke beli?"

Belum sempat saya buka mulut, wanita itu terus bangun dan berlalu pergi, meninggalkan saya terpinga-pinga.

Saya pandang bubur pulut hitam yang dah sejuk di atas meja. Dari sebelah, isteri menjeling sambil berkata dengan sinis:

"Boy konon."

Ngeh! 😆


Kunci, Longkang & Harga Sebuah Gaya

Kunci, Longkang & Harga Sebuah Gaya

Tadi, selepas membaca berita kemalangan di lebuh raya, saya tiba-tiba teringat satu kisah lama. Kejadian ini berlaku ketika saya berseorangan dalam perjalanan ke Kuala Lumpur. Singgah sekejap di R&R Seremban untuk berehat dan isi perut.

Sebaik saja saya keluar dari kereta, mata saya tertancap pada sekumpulan gadis UiTM yang baru turun dari bas. Lawa-lawa belaka. Maka, saya pun berjalan dengan penuh gaya—kunci kereta diputar-putar di jari, cermin mata hitam tersangkut kemas di hidung, langkah diatur penuh keyakinan.

Tiba-tiba—plak!

Kunci terlepas dari tangan. Jatuh. Melantun. Dan terus masuk ke dalam longkang.

Saya terpaku. Di depan saya, ada penutup besi menutupi longkang itu. Saya cuba angkat—tak bergerak langsung. Bala betul! Mujur longkang kering.

Akhirnya, tanpa pilihan, saya terpaksa turun sendiri ke dalam longkang itu. Dalamnya separas pinggang. Ketika saya terkial-kial mencapai kunci, seorang abang Indon yang menjual telefon murah datang membantu menarik saya naik semula.

Dengan muka merah padam, saya berjalan perlahan-lahan ke kereta. Dari jauh, kedengaran riuh rendah gelak ketawa gadis-gadis tadi. Ya, mereka nampak semuanya. Huh!

Moral cerita—kalau nak bergaya, pastikan kunci kereta selamat dulu. Serius!



DI SUATU PETANG


Suatu petang, suami isteri berbual sambil menikmati kopi.

"Abang nak minta duit sikit… nak belajar berenang."

Si isteri mengerutkan dahi. "Buat apa nak belajar berenang?"

Suami tersenyum yakin. "Nanti badan jadi langsing, slim macam zaman muda-muda dulu. Abang juga yang suka, kan?"

Si isteri menghirup kopi perlahan, kemudian berkata:

"Tak payahlah… Ikan paus tu hari-hari berenang, tapi badan dia tetap macam tu juga…"

Ngeh! 😆


Monday, August 14, 2017

"Ribut, Wartawan & Kekecewaan Seorang Aku"





"Ribut, Wartawan & Kekecewaan Seorang Aku"

Aku teringat 12 tahun lalu, bertugas di Daerah Jempol, Negeri Sembilan. Waktu itu, Jempol tidaklah seperti sekarang—yang penuh dengan bangunan perniagaan dan taman perumahan. Dahulu, pekannya kecil. Yang ada cuma bangunan Pejabat Daerah, Majlis Daerah, pejabat pos, dan sebuah balai bomba. Kedai makan? Tak sampai sepuluh. Malam-malam, sunyi. Jalan kiri-kanannya hanya dihiasi pokok getah dan sawit. Seram. Kisah hantu? Itu perkara biasa.

Suatu malam, aku ditugaskan menyiasat dan menguruskan kes ribut yang melanda sebuah gugusan Felda berdekatan sempadan Pahang. Ribut kuat, hujan lebat. Kejadian berlaku sekitar jam 10 malam. Dalam sekelip mata, suasana aman bertukar menjadi porak-peranda.

Lebih 50 rumah terjejas. Ada yang dihempap pokok besar, ada yang bumbungnya diterbangkan angin entah ke mana. Haiwan ternakan? Hilang. Kecoh, panik, tangisan anak-anak kecil berselang dengan suara orang dewasa mencari harta benda yang masih boleh diselamatkan. Ramai yang tidur beratapkan langit malam itu.

Dan di sinilah masuknya wartawan.

Mereka datang menyerbu—RTM, TV3, akhbar Cina, tabloid. Soalan bertalu-talu. Kamera berkelip-kelip. Aku pun tidak terkecuali daripada menjadi sasaran lensa. "Ha, esok confirm muka aku masuk surat khabar," fikirku dengan bangga kecil dalam hati. YB ADUN dan pegawai kerajaan turun padang, bantuan segera disalurkan. Malam itu penuh manusia, penuh drama.

Selesai tugas jam 3 pagi, aku pulang ke rumah dengan harapan esoknya namaku terpampang dalam berita.

Keesokan paginya di pejabat, bos menghulurkan surat khabar dengan senyuman sinis. Aku menyambut dengan penuh debaran, bersedia melihat liputan tragedi ribut yang menggegarkan Felda.

Tajuk utama:

"Seorang Tua Meninggal Terkejut Selepas Terjumpa Ular Dalam Kejadian Ribut!"

Aku terkedu.

Bukan kisah rumah-rumah yang musnah. Bukan kisah atap bumbung yang lenyap. Bukan kisah mangsa yang kehilangan tempat berteduh. Tapi… seorang tua mati terkejut kerana ular?!

Begitulah dunia berita. Bertahun kemudian, setelah berkawan dengan beberapa wartawan, barulah aku faham. "Ular dan kematian" itu berita. "Ribut dan rumah ranap" sekadar liputan.

Teringat filem Spider-Man—"With great power comes great responsibility." Tapi nampaknya, dalam dunia kewartawanan, yang penting bukan kuasa, tapi headline yang boleh jual cerita.

Ngeh!