Showing posts with label #KISAHAKU. Show all posts
Showing posts with label #KISAHAKU. Show all posts

Wednesday, October 16, 2019

"Hijrah Ke Kuala Pilah: Temui Keindahan Alam Kampung"


"Hijrah Ke Kuala Pilah: Temui Keindahan Alam Kampung"

Tahun 2018, satu perubahan besar berlaku dalam hidup saya. Dari Seremban yang sibuk, saya dipindahkan ke Daerah Kuala Pilah. Asalnya, memang terasa berat hati. Sudah enam tahun saya berkhidmat di Seremban, tiba-tiba saya terpaksa berhijrah ke kawasan kampung. Dah biasa dengan hiruk-pikuk jalan raya, hon kereta, asap rokok, dan deretan kereta yang tidak pernah surut. Memang susah nak bayangkan jika terpaksa hidup di Kuala Lumpur, dengan kesesakan yang jauh lebih teruk.

Namun, setelah setahun berada di Kuala Pilah, saya mulai menghargai suasana kampung yang tenang dan damai. Setiap pagi, perjalanan ke tempat kerja terasa begitu berbeza. Tidak perlu ke kawasan Tanah Tinggi, di sini pun keindahan alamnya sudah cukup memukau. Memandang hijau alam yang luas dan udara segar, hati saya tenang.

Dan tak boleh lupa, air terjun Ulu Bendol, yang membuatkan saya semakin jatuh cinta dengan kampung ini. Segala keluhan tentang jalan yang sesak di Seremban mula luntur begitu sahaja.

Kampung ini bukan sekadar tempat saya bekerja, ia telah menjadi rumah kedua saya. Setiap sudutnya menyimpan ketenangan yang sulit ditemui di kota besar.

Begitulah hidup saya sekarang—dikelilingi kedamaian yang dulu hanya saya impikan.


FUD AHMAD









Monday, October 14, 2019

SELFIE











Ala saja nak melaram guna kamera huawei ni.Beza betul.Kalau tengok real takdalah rupa gini.Huhu.

Fud Ahmad

RIDE SOLO SENAWANG-MELAKA









\

SIRI ANEKDOT: "Badar yang Dulu, Badar yang Kini"

Di sebuah kedai makan, seorang lelaki berusia 39 tahun sedang duduk menikmati secawan Nescafe panas yang masih berasap. Satu-satunya peneman setianya adalah sebuah ‘handphone’ yang sudah kehabisan bateri. Sepertinya, dia hanya ditemani oleh kesunyian. Kalau ada buku anekdot ragam budak sekolah, barulah hilang kebosanan.

Tiba-tiba, suara seorang lelaki memecah lamunan.

“Bang, kenal saya lagi tak?”

Saya menoleh, mencari suara itu. Seorang lelaki berjanggut dan berkumis tersenyum memandang saya. Wajahnya bersih dan harum kasturi.

“Maaf, saya lupalah. Boleh saya tahu awak siapa?” saya bertanya, memandang tepat ke wajahnya.

“Sayalah Badar. Klien abang 10 tahun dulu. Tak ingat eh?” katanya sambil menarik kerusi dan duduk di hadapan saya.

“Allah, kalau kau tak bagitau, abang memang tak ingat. Badar dah besar ko sekarang, ye?” Saya terkejut. Mengikut rekod, Badar dulu seorang pelajar bermasalah, gagal dalam pelajaran, dan terlibat dengan kes jenayah kanak-kanak. Dia dihantar ke Sekolah Henry Gurney selama 3 tahun.

“Abang tumpang gembira tau. Kau tak marah kat abang ke? Sebab abang yang syorkan ko masuk sana,” saya bertanya lagi.

Badar tersenyum, “Mestilah marah… tapi lama-lama saya sedar inilah jalan terbaik. Guru saya kata, ‘Jagalah amanah yang diberi.’ Hasilnya, saya berjaya, bang.”

Saya memerhatikan dia, takjub. Wajahnya kini bersih, dan di poketnya terlihat tasbih yang sedikit terkeluar. “Budak karkun agaknya ni,” bisik hati saya.

“Jadi, apa projek kau sekarang?” saya bertanya, tidak puas hati.

“Saya belajar di UKM, bang. Tak lama lagi habislah, dalam bidang mekanikal. Maaf ye, saya tak boleh lama-lama. Ibu saya tunggu dalam kereta, nak lari bungkus air sekejap je,” katanya, sambil bangun.

Saya hanya memandangnya pergi, tiba-tiba air mata mengalir di pipi. Ya Allah, dulu ibunya langsung tidak mahu mengambil peduli tentang dirinya, tapi kini, asbab doa dan kesungguhan, ibunya kembali menerima.

Tiba-tiba, saya menjerit kepada Badar yang sudah hampir hilang dari pandangan.

“Badar! Kau nak tanya apa tadi?” saya menyoal dengan penuh rasa ingin tahu.

Badar berpaling, tersenyum nakal. “Takda apa, bang… cuma nak cakap, dulu abang kurus, sekarang kenapa dah gomok? Itu je!”

Saya tersentak, “Eh geram pulak aku... menyesal tanya. Adeh!”

FUD AHMAD




JEJAK BADAR: PENGADILAN DAN HARAPAN

 
JEJAK BADAR: PENGADILAN DAN HARAPAN

“Setelah mengambil kira pandangan Penasihat Mahkamah, Pendakwa Raya, Pegawai Akhlak, serta rayuan kanak-kanak, mahkamah dengan ini menjatuhkan hukuman di bawah Seksyen 91(1)(f) Akta Kanak-Kanak 2001. Kanak-kanak tersebut diperintahkan dihantar ke Sekolah Henry Gurney.”

“Bangun…”

Semua yang berada di dalam mahkamah bangun dari tempat duduk masing-masing, memberi penghormatan kepada Tuan Majistret. Dari sudut yang lain, saya melihat Badar (bukan nama sebenar) menundukkan wajahnya, memandang ke lantai tanpa bergerak. Matanya berkaca, dan bahunya sedikit bergetar. Saya melangkah mendekatinya, cuba memberikan sedikit ketenangan.

“Badar… harap awak bersabar, ya. Walaupun saat ini terasa pahit, percayalah, ada hikmahnya. Tuhan sangat menyayangi kamu, sebab itu Dia memberikan peringatan dan peluang untuk berubah lebih awal. Kamu masih belum terlambat.”

Perlahan-lahan, Badar mengangkat wajahnya. Air mata mengalir deras di pipinya. Dia menyeka dengan belakang tangan, cuba menahan esak tangisnya. “Saya sedih, Tuan… Ibu tak mahu jumpa saya langsung. Abah pula tak datang pun…” suaranya lirih, hampir tenggelam dalam sendu.

Saya menarik nafas dalam. Iya, memang benar. Sebaik sahaja perbicaraan berakhir dan urusan dokumentasi selesai, ibunya terus berlalu pergi. Ayahnya pula langsung tidak hadir, seolah-olah enggan mengakui kewujudan anaknya sendiri. Mereka terlalu malu dengan kesalahan yang dilakukan Badar.

“Sabar ya, Badar. Beri mereka masa. Tuan Majistret sudah memerintahkan agar keluarga melawat dua kali sebulan. Jangan risau, mereka akan datang nanti.” Saya menatap matanya dengan penuh keyakinan dan meletakkan tangan di bahunya, cuba menyampaikan sedikit kekuatan.

Badar mengangguk perlahan. “Saya harap begitu… Saya rindukan mereka, Tuan. Saya menyesal…” suaranya bergetar, dan sekali lagi air matanya mengalir.

Saya tersenyum tipis. “Jangan risau, Badar. Jika kamu berkelakuan baik, mungkin kamu akan dibebaskan lebih awal. Ramai yang berjaya selepas keluar dari Sekolah Henry Gurney. Buktikan yang kamu juga boleh. Ibu bapa kamu… saya akan cuba uruskan nanti.”

Dua orang anggota polis menghampiri dan mengiringi Badar ke dalam, sebelum membawanya ke Sekolah Henry Gurney. Ini bukan kali pertama dia berhadapan dengan hukuman. Sudah berkali-kali diberikan nasihat dan dikenakan hukuman ringan, tetapi semuanya tidak membawa perubahan. Langkah terakhir—penghantaran ke institusi pemulihan—terpaksa diambil.

Di luar mahkamah, saya termenung sejenak. Hati terasa berat melihat anak-anak yang terjebak dalam kancah jenayah. Kadangkala, bukan salah mereka sepenuhnya. Ibu bapa terlalu sibuk mengejar kehidupan, mencari rezeki siang dan malam, hingga lupa ada anak yang memerlukan perhatian dan kasih sayang. Kanak-kanak bukan sekadar memerlukan perlindungan, tetapi juga bimbingan, pendidikan, dan rasa dicintai—seperti yang ditekankan dalam Konvensyen Hak Kanak-Kanak Sedunia.

Saya menarik nafas panjang, mengumpulkan kekuatan untuk meneruskan tugas. Masih banyak lagi fail kes kanak-kanak di tangan saya. Masih ramai anak-anak di luar sana yang perlu dibantu.

Dengan doa di hati, saya berharap Badar akan menemui jalan kejayaan. Semoga dia bangkit dan membuktikan bahawa masa silam tidak menentukan masa depan. Amin.

FUD AHMAD







Thursday, March 28, 2019

SIRI YONG TAU FOO BUAT MAK :Bayang Mak di Hujung Rindu


Bayang Mak di Hujung Rindu

Ya... Mak sudah tiada. Beberapa kali aku cuba menafikan hakikat ini. Aku enggan percaya yang mak sudah pergi, bahawa dunia ini sudah kehilangan kasih seorang ibu yang tidak mungkin kembali. Namun, kenyataan tetap kenyataan. Mak telah pergi untuk selamanya.

Aku merenung gambar mak, jari-jemariku mengusap lembut permukaannya, seolah-olah dapat merasakan hangat wajahnya di situ. Air mata mengalir perlahan tanpa aku sedari. Hanya gambar dan video yang sempat dirakam oleh adik tiga hari sebelum mak pergi menjadi pengubat rindu. Tetapi, hakikatnya, ia tidak pernah cukup. Rindu ini bagai lautan tak bertepi.

"Abang, sudah-sudahlah tu. Abang tak boleh macam ni selalu."

Aku tersentak. Isteriku berdiri di sisi, wajahnya penuh dengan kebimbangan. Dia pasti sudah lama memerhati aku larut dalam kesedihan yang tiada penghujung.

"Ya, abang tahu... Abang cuba 'move on'. Tapi bila tengok gambar ni... tiba-tiba air mata mengalir. Nak buat macam mana?"

Aku cuba tersenyum, tetapi senyumanku tawar. Itu sekadar alasan yang sama, berulang kali aku berikan. Hakikatnya, aku belum kuat untuk melepaskan. Sudah sebulan mak pergi, tetapi hati ini masih di situ—terperangkap dalam bayang kenangan bersama mak.

Aku tahu, adik-beradikku juga berasa kehilangan yang sama. Mereka mungkin tidak menangis di depan orang, tetapi aku yakin mereka juga memendam rasa. Mungkin mereka lebih pandai menyembunyikan duka—dengan berpura-pura ketawa atau menyibukkan diri di kebun, menanam anak pokok durian. Masing-masing punya cara untuk menghadapi kehilangan.

Aku memandang siling, mencari kekuatan yang semakin menghilang. Akhirnya, aku bangun perlahan-lahan dan naik ke bilik. Bayiku, Khadijah, tidur nyenyak di sebelah bantal kecilnya. Aku merenung wajahnya yang polos dan suci. Hati kecilku berbicara...

"Kau masih kecil dan tidak mengerti, sayang."

Aku menghela nafas panjang. Mungkin, dengan melihat keletahnya, aku akan mendapat sedikit ketenangan. Aku menunduk sedikit dan membisik perlahan di telinganya, "Hai baby Khadijah, sayang ayah tak?"

Tiba-tiba, Khadijah tersentak. Matanya terbuka luas, dan tangisannya pecah memenuhi bilik. Aku terkedu. Isteriku bergegas menghampiri, mendodoikan bayi kecil kami dengan wajah masam mencuka ke arahku.

"Oklah... oklah. Fine," aku mengalah sambil mengangkat tangan.

Aku mengeluh perlahan, memandang ke luar jendela. Dalam kegelapan malam, aku melihat bayanganku sendiri di cermin tingkap. Mata itu kelihatan letih—letih menanggung rindu yang tak berpenghujung.

Dan dalam kesunyian itu, aku bertanya kepada diri sendiri...

"Mak... di manakah mak sekarang?"

 

FUD AHMAD



Tuesday, March 12, 2019

SIRI YONG TAU FU UNTUK MAK : MAK DAH TAKDA


Dalam bilik yang sunyi, hanya bunyi kipas berdengung perlahan. Walaupun nombor lima sudah kuputarkan, hawa panas tetap melekat di kulit. Sehelai singlet putih lusuh dan kain pelekat pemberian abah menjadi pakaian setiaku. Singlet ini mungkin sudah pudar warnanya, tetapi kenangan bersamanya masih jelas—seperti bayang yang enggan pergi.

Aku bangkit perlahan dari tilam, terasa badan sedikit berat. Langkahku lemah menuruni tangga, memijak anak tangga satu persatu dengan berhati-hati. Tulang belakang betisku berdenyut, sakit yang entah kenapa tidak mahu surut walau berbiji ubat telah kutelan. Klinik Penawar sudah beberapa kali kukunjungi, namun doktor tetap bertegas, "Ini bukan gout."

“Tapi sakit, doktor. Sakit yang lain macam…”

Doktor itu menghela nafas panjang sebelum menjawab, "Sekarang saya doktor atau awak yang doktor?"

Akhirnya aku diam. Mungkin benar kata doktor. Tapi entah kenapa, hati ini tetap tidak percaya. Rasa sakit ini bukan sekadar sakit. Ada sesuatu yang lebih dari sekadar sakit fizikal.

Duduk di kerusi kayu kegemaranku, aku mengimbas memori abah. Abah yang bertahun-tahun berjuang melawan gout. Aku masih ingat bagaimana dia meraung apabila jari kakinya tersentuh batu kecil di halaman rumah. Air mukanya berkerut menahan perit, tetapi tetap berpura-pura tabah di hadapan kami. Dan mak… Mak selalu ada di sisinya.

Maklah yang mengatur jadual ubat abah. Mak jugalah yang meletakkan bekas air masak di sisi meja kecil dalam bilik tidur mereka, memastikan segalanya tersusun kemas. Bila tiba waktu makan ubat, suara mak akan menggema di rumah.

“ABANG, makan ubat.”

Abah akan menjawab dengan gurauan, "Ubat ni lagi tua dari aku. Rasa dia pun macam zaman Jepun."

Dan mereka berdua akan tergelak kecil, mengisi malam yang sepi dengan kebersamaan yang hanya mereka fahami. Itulah cinta mereka, terpancar dalam hal-hal kecil yang tidak pernah kami sedari dahulu.

Tapi… aku lupa.

Mak dah tiada.

Aku terdiam. Pandanganku kabur dek genangan air mata. Sesungguhnya aku tahu, aku cuba menafikan hakikat ini. Mak sudah tiada, dan aku takkan pernah dengar lagi suaranya menyuruh abah makan ubat. Takkan ada lagi bunyi gelak tawanya di ruang tamu.

Aku menoleh ke sudut rumah. Tempat duduknya masih di situ, tetapi kosong. Sunyi. Bayang mak tidak ada, hanya kenangan yang masih berlegar-legar di ruang ini.

Jauh di sudut hati, aku berharap keajaiban berlaku. Aku mahu pintu bilik mak terbuka dan dia keluar seperti biasa. Mahu dia datang menegurku seperti dulu.

Tapi aku tahu, itu mustahil.

Mak dah tiada.

Dan aku masih belajar untuk menerima hakikat itu.

 

FUD AHMAD







SIRI YONG TAUFU BUAT MAK: Ayah, Jangan Bersedih Lagi


Petang itu, saya mengambil kakak dari asrama kerana ada majlis Anugerah UPSR di sekolahnya. Sebaik masuk ke dalam kereta, dia terus bersuara.

"Ayah masih bersedih lagi ke? Ayah kena teruskan hidup tau. Kalau Atok Mak tahu ayah begini, mesti dia lagi sedih. Sudahlah Ayah... Nanti akak bawa pergi jalan-jalan."

Saya hanya mengangguk, melayan nasihatnya tanpa banyak bicara. Entahlah, walaupun sudah lebih sepuluh hari emak pergi, saya masih belum mampu menghilangkan kesedihan ini. Kadangkala, duduk seorang diri atau sekadar menatap gambar-gambarnya sudah cukup untuk membuat saya meraung tanpa sedar.

Esok pula, buku Antologi Anekdot Ragam Suami Isteri, karya terbaru saya bersama penulis lain, akan diterbitkan. Buku inilah yang emak tunggu-tunggu untuk dibaca selepas Anekdot Ragam Budak Sekolah. Namun, kini emak tiada lagi untuk melihat hasil tulisan saya. Bertambah lagilah kesedihan ini.

"Ayah... ayah dengar tak akak cakap ni?"

Saya tersentak apabila kakak menepuk bahu.

"Ayah dengar, kak. Terima kasih ya, nasihat tu. Doakan ayah cepat pulih."

"Mestilah ayah... akak selalu doakan ayah. Dah jangan nangis-nangis. Ayah mesti strong, okay?" katanya sambil tersenyum, cuba menyuntik semangat ke dalam hati saya yang suram.

Saya membalas senyumannya. Tetapi tiba-tiba, saya teringat sesuatu yang perlu diberitahu kepadanya.

"Oh, ayah lupa nak bagitahu. Bangun tidur pagi tadi, ayah nampak baby kucing akak dah mati... Si Smokey. Adik dah kebumikan."

Kakak yang tadinya ceria tiba-tiba terdiam. Senyumannya pudar. Mata berkaca.

"Macam mana boleh mati? Ayah tak jaga dia ke?" soalnya dengan suara bergetar.

Smokey, anak kucing baka Parsi berwarna kelabu, memang sangat disayanginya. Namun, nampaknya tidak panjang umur.

Saya hanya mampu mengusap bahunya. "Sabar, kak. Dah jangan sedih-sedih, ya. Nanti ayah bawak pergi jalan-jalan."

Kakak tidak membalas. Dia hanya menjeling tajam, jelas menunjukkan rasa marah dan kecewa. Mungkin dia menyalahkan saya. Mungkin juga dia hanya melepaskan kesedihannya dengan cara itu.

Saya menarik nafas panjang. Kehilangan memang sesuatu yang sukar. Dan hari ini, kami berdua sama-sama merasakannya.

 

FUD AHMAD




Tuesday, September 12, 2017

Melaka, Raya & Roti Canai

Melaka, Raya & Roti Canai

Sambil menunggu roti canai siap di warung depan rumah, tiba-tiba lagu raya berkumandang. Terus teringat kampung halaman di Melaka. Negeri bersejarah itu, kalau tiba musim perayaan, kau tahu-tahulah—penuh sesak dengan orang ramai. Belum masuk kira lagi yang balik dari Singapura dan pelancong luar yang ambil kesempatan bercuti.

Pernah suatu ketika, nak bungkus roti canai dekat gerai sebelah Maktab Perguruan Melayu Melaka pun payah. Sesak betul dengan kenderaan kiri kanan. Lagi parah, pernah juga kereta aku dilanggar pada pagi raya pertama! Terpaksa ke balai polis di Bandar Melaka, tapi di sana pun sama—penuh dengan orang yang nak buat aduan. Sesak kepala dibuatnya!

Sebab itulah sekarang aku dah ada strategi. Sebelum balik kampung, mesti buat perancangan perjalanan awal-awal. Tanya dulu adik-beradik dan kawan-kawan di Melaka tentang keadaan trafik. Tapi biasanya jawapan mereka tetap sama.

"Sesak, bro."

Aduh! Raya-raya pun boleh stress! 😆


PADAH JARI TELUNJUK


Teguran Halus Sebelum Jumaat

Sebelum solat Jumaat tadi, saya singgah di sebuah kedai untuk minum. Entah kenapa, kedai itu penuh dengan wanita—kanan, kiri, depan, belakang—semuanya perempuan.

Saya jadi tak senang duduk. Ada yang comel, ada juga yang berpakaian agak seksi.

Ketika hendak bangun, entah bagaimana jari saya tercocok mata kiri sendiri. Pedih bukan main! Berair terus mata. Kejadian berlaku betul-betul saat saya ingin menyarung cermin mata hitam.

Dalam perjalanan ke Masjid Putih Seremban 2, saya teringat pesan guru: Jaga pandangan, tundukkan mata.

Bila difikir balik… memang patutlah mata saya 'ditegur' tadi. Kalau tidak, mungkin saya masih sibuk 'survey' orang lagi. Taubat.

Itu saja nak cerita petang ni.

Ngeh!


KENANGAN BASIKAL TUA


Lepas isi minyak di Petronas Taman Bandar Senawang tadi, saya perasan sekumpulan budak lelaki—umur dalam lingkungan 11 ke 12 tahun—berkumpul dengan basikal masing-masing.

Hon kecil di tepi basikal mereka berbunyi riuh rendah, berwarna-warni pula tu. Anak saya kata itu basikal fixie. Entahlah, ayah dia ni tak berapa faham dunia budak zaman sekarang. Sesekali mereka buat aksi wheelie. Dasyat juga!

Sejujurnya, terganggu juga dengan kehadiran mereka. Tapi bila fikir balik, dulu saya pun kaki basikal. Ada geng sendiri. Habis bandar Melaka kami pusing hanya dengan dua roda.

Cuma beza mereka naik fixie, saya dulu setia dengan basikal tua warna hitam. Siap ada lampu dengan dynamo, ok! Klasik habis.

Itu sajalah nak cerita malam minggu ni.

Ngeh!


Monday, August 14, 2017

"Ribut, Wartawan & Kekecewaan Seorang Aku"





"Ribut, Wartawan & Kekecewaan Seorang Aku"

Aku teringat 12 tahun lalu, bertugas di Daerah Jempol, Negeri Sembilan. Waktu itu, Jempol tidaklah seperti sekarang—yang penuh dengan bangunan perniagaan dan taman perumahan. Dahulu, pekannya kecil. Yang ada cuma bangunan Pejabat Daerah, Majlis Daerah, pejabat pos, dan sebuah balai bomba. Kedai makan? Tak sampai sepuluh. Malam-malam, sunyi. Jalan kiri-kanannya hanya dihiasi pokok getah dan sawit. Seram. Kisah hantu? Itu perkara biasa.

Suatu malam, aku ditugaskan menyiasat dan menguruskan kes ribut yang melanda sebuah gugusan Felda berdekatan sempadan Pahang. Ribut kuat, hujan lebat. Kejadian berlaku sekitar jam 10 malam. Dalam sekelip mata, suasana aman bertukar menjadi porak-peranda.

Lebih 50 rumah terjejas. Ada yang dihempap pokok besar, ada yang bumbungnya diterbangkan angin entah ke mana. Haiwan ternakan? Hilang. Kecoh, panik, tangisan anak-anak kecil berselang dengan suara orang dewasa mencari harta benda yang masih boleh diselamatkan. Ramai yang tidur beratapkan langit malam itu.

Dan di sinilah masuknya wartawan.

Mereka datang menyerbu—RTM, TV3, akhbar Cina, tabloid. Soalan bertalu-talu. Kamera berkelip-kelip. Aku pun tidak terkecuali daripada menjadi sasaran lensa. "Ha, esok confirm muka aku masuk surat khabar," fikirku dengan bangga kecil dalam hati. YB ADUN dan pegawai kerajaan turun padang, bantuan segera disalurkan. Malam itu penuh manusia, penuh drama.

Selesai tugas jam 3 pagi, aku pulang ke rumah dengan harapan esoknya namaku terpampang dalam berita.

Keesokan paginya di pejabat, bos menghulurkan surat khabar dengan senyuman sinis. Aku menyambut dengan penuh debaran, bersedia melihat liputan tragedi ribut yang menggegarkan Felda.

Tajuk utama:

"Seorang Tua Meninggal Terkejut Selepas Terjumpa Ular Dalam Kejadian Ribut!"

Aku terkedu.

Bukan kisah rumah-rumah yang musnah. Bukan kisah atap bumbung yang lenyap. Bukan kisah mangsa yang kehilangan tempat berteduh. Tapi… seorang tua mati terkejut kerana ular?!

Begitulah dunia berita. Bertahun kemudian, setelah berkawan dengan beberapa wartawan, barulah aku faham. "Ular dan kematian" itu berita. "Ribut dan rumah ranap" sekadar liputan.

Teringat filem Spider-Man—"With great power comes great responsibility." Tapi nampaknya, dalam dunia kewartawanan, yang penting bukan kuasa, tapi headline yang boleh jual cerita.

Ngeh!