Petang itu, saya mengambil kakak dari asrama kerana ada majlis Anugerah UPSR di sekolahnya. Sebaik masuk ke dalam kereta, dia terus bersuara.
"Ayah masih bersedih lagi ke? Ayah kena teruskan hidup tau. Kalau Atok Mak tahu ayah begini, mesti dia lagi sedih. Sudahlah Ayah... Nanti akak bawa pergi jalan-jalan."
Saya hanya mengangguk, melayan nasihatnya tanpa banyak bicara. Entahlah, walaupun sudah lebih sepuluh hari emak pergi, saya masih belum mampu menghilangkan kesedihan ini. Kadangkala, duduk seorang diri atau sekadar menatap gambar-gambarnya sudah cukup untuk membuat saya meraung tanpa sedar.
Esok pula, buku Antologi Anekdot Ragam Suami Isteri, karya terbaru saya bersama penulis lain, akan diterbitkan. Buku inilah yang emak tunggu-tunggu untuk dibaca selepas Anekdot Ragam Budak Sekolah. Namun, kini emak tiada lagi untuk melihat hasil tulisan saya. Bertambah lagilah kesedihan ini.
"Ayah... ayah dengar tak akak cakap ni?"
Saya tersentak apabila kakak menepuk bahu.
"Ayah dengar, kak. Terima kasih ya, nasihat tu. Doakan ayah cepat pulih."
"Mestilah ayah... akak selalu doakan ayah. Dah jangan nangis-nangis. Ayah mesti strong, okay?" katanya sambil tersenyum, cuba menyuntik semangat ke dalam hati saya yang suram.
Saya membalas senyumannya. Tetapi tiba-tiba, saya teringat sesuatu yang perlu diberitahu kepadanya.
"Oh, ayah lupa nak bagitahu. Bangun tidur pagi tadi, ayah nampak baby kucing akak dah mati... Si Smokey. Adik dah kebumikan."
Kakak yang tadinya ceria tiba-tiba terdiam. Senyumannya pudar. Mata berkaca.
"Macam mana boleh mati? Ayah tak jaga dia ke?" soalnya dengan suara bergetar.
Smokey, anak kucing baka Parsi berwarna kelabu, memang sangat disayanginya. Namun, nampaknya tidak panjang umur.
Saya hanya mampu mengusap bahunya. "Sabar, kak. Dah jangan sedih-sedih, ya. Nanti ayah bawak pergi jalan-jalan."
Kakak tidak membalas. Dia hanya menjeling tajam, jelas menunjukkan rasa marah dan kecewa. Mungkin dia menyalahkan saya. Mungkin juga dia hanya melepaskan kesedihannya dengan cara itu.
Saya menarik nafas panjang. Kehilangan memang sesuatu yang sukar. Dan hari ini, kami berdua sama-sama merasakannya.
FUD AHMAD
No comments:
Post a Comment