Thursday, March 28, 2019

YONG TAU FOO BUAT MAK 2


Ya... mak sudah tiada. Beberapa kali aku cuba menafikan yang mak sudah tiada.Tiada di dunia dan yang pasti sampai bila-bila pun aku tidak akan dapat berjumpa apatah lagi untuk bermesra seperti biasa.Hanya gambar dan video yang dibuat oleh adik 3 hari sebelum mak meninggal cukuplah buat pelepas rindu.Namun ianya masih belum menghilangkan kesedihan dalam diri ini.

"Abang, sudah-sudahlah tu. Abang tak boleh macam ni selalu." Aku terperanjat bila tiba-tiba dikejutkan oleh isteriku.Dia nampak aku menangis sambil merenung gambar mak.

"Ya, abang tahu.Nak 'move on' lah ni.Bila tengok gambar ni tiba-tiba air mata mengalir. Nak buat macamana?" 

Begitulah alasan yang aku beri kepada isteriku ini.Walaupun aku tahulah jawapan ini cukup klise dan tetap sama bermain dibibir aku.

Sedar tidak sedar sudah sebulan mak pergi. Dan... ianya menyebabkan kerisuan kepada ahli kelurga yang lain lantaran melihat aku yang masih belum berubah.

Fikirku lagi, adik beradik yang lain pun sama.Aku yakin mereka masih bersedih.Cuma mereka pandai menyembunyikan kesedihan mereka. Mungkin dengan berpura-pura ketawa atau sibuk di kebun menanam anak pokok durian.

Manusia ini unik.Unik kerana setiap orang punya perangai dan cara yang berbeza.Samalah juga dengan rahsia penciptaan manusia oleh Tuhan Yang Maha Agung.Berjuta manusia dilahirkan sejak zaman Nabi Adam sehingga kini, punya wajah dan rupa yang berbeza. Maha suci Allah sangat hebat kekuasaannya. Begitu jugalah dengan sifat dan perangai manusia juga berbeza.

Setelah mengumpulkan kekuatan, aku naik keatas dan cuba baring sebelah Khadijah, bayiku yang kini sudah berumur 1 tahun 5 bulan.Aku memandangnya dengan pandangan sayu. Hatiku kecilku berbicara...."Kau masih kecil dan tidak mengerti sayang.'Aku berharap sangat kesedihanku hilang dengan  melihat keletahnya.

Aku menoleh lagi lantas berkata," Hai baby Khadijah, sayang ayah tak?"

Baby Khadijah tersentak dari tidurnya dan terus menangis tidak berhenti.Ibunya pula lari mendodoikan nya dengan muka masam mencuka ke arahku.

" Oklah.. oklah.Fine"

Adeh!





Tuesday, March 12, 2019

YONG TAU FU UNTUK MAK 1


Dalam bilik yang sunyi bertemankan bunyi kipas.Walaupun kipas sudah ku buka sehingga ke angka lima namun sedikit pun tidak terasa sejuk. Halwa panas tetap terasa meskipun aku hanya memakai kain pelekat pemberian abah dan sehelai singlet putih lusuh.Singlet ini biar lusuh namun cukuplah menutup perutku yang semakin lama agak membesar.

Bangkit daripada  tidur lalu turun ke bawah mencari susuk tempat duduk 'feveret' ku. Langkahku perlahan menuruni tangga biarpun tulang belakang betis kakiku sedikit sakit. Aku gagahkan juga sehingga tiba ke bawah. Walaupun doktor sudah mengesahkan ini bukannya gout, namun aku musykil sakitku tidak juga hilang walaupun sudah berbiji ubat telah ku telan.

Bertekaklah sekejap dengan doktor dari Klinik Penawar, hingga doktor tu bertanya, "sekarang ini saya doktor atau awak yang doktor?". 

Akhirnya aku akur,  iyalah kakiku sakit bukannya disebabkan gaut tetapi keting kaki yang sedikit membengkak dibahagian tulang, kesannya membawa kepada sakit yang tidak terhingga.

Kurangnya kefahaman terhadap penyakit gout dan kerisauan kepada penyakit ini disebabkan abah sendiri menderita akan penyakit ini.

Penyiksaan itu dapat dirasakan bila abah meraung kesakitan apabila kakinya terhentak sedikit di tepi batu rumah. Akhirnya ke klinik jugalah kami pergi. Dengan satu suntikan kesakitan itu hilang namun ianya sekadar menghilangkan rasa sakit, penyakitnya masih ada lagi.

Cara paling baik  adalah dengan berpantang. Pantangnya mengambil makanan yang bukan-bukan.Namun makanan begitulah menjadi kesukaan abah.Kari kambing , daging dan ayam memang menjadi kesukaanlah. Satu lagi cara adalah dengan mendengar nasihat mak. Abah akur dengan segala nasihat Mak. Jadual makan ubat mak yang aturkan dan dialah yang menjadi jam locengnya.

Ubat yang perlu dimakan disusun di satu tempat khas. Diletaknya bekas air masak  dibahagian tepi agar mudah diambil. Kemudian mereka berdua bersama-sama mengambil ubat untuk dimakan.

Mak pula dengan penyakit kencing manisnya. Bersama -samalah meraka ketawa memecah kesunyian malam selepas tahu beginilah keadaannya bila sudah mencapai usia warga emas. Oleh kerana mereka selalu bergurau, makan ubat pun sudah boleh menjadi perkara lucu bagi mereka. Begitulah kisahnya.

Tapi... tapi aku lupa, Mak dah tiada.






KISAH AKAK



Ambil kakak dari asrama sebab ada majlis Anugerah Upsr tahun 2018 di sekolahnya tadi.

Masa ambil tadi akak cakap, "Ayah masih bersedih lagi ke? Ayah kena teruskan hidup tau. Kalau Atok Mak tahu yang ayah begini mesti dia lagi sedih. Sudahlah Ayah... Nanti akak bawa pergi jalan-jalan."

Saya layan je nasihat akak tu. Entahlah, walaupun sudah lebih 10 hari mak meninggal, saya tetap bersedih dan masih teringatkan dia. Tambah lagi jika duduk seorang diri atau menatap gambar-gambar lamanya. Memang meraunglah.

Besok pula  buku Antologi Anekdot Ragam Suami Isteri karya terbaru saya bersama penulis lain akan keluar. Dan buku inilah yang ibu saya menunggu untuk baca selepas buku pertama Anekdot Ragam Budak Sekolah.

Bertambah lagilah kesedihan saya.

"Ayah... ayah dengar tak akak cakap ni?" Terkejut saya dari lamunan bila akak menepuk bahu saya tadi.

"Ayah dengar kak, terima kasih ya nasihat tu. Doalah ayah cepat pulih ya."

"Mestilah ayah... akak selalu doakan ayah. Dah jangan nangis - nangis. Ayah mesti strong ok." Kata-kata akak ini buat saya bersemangat semula.

Tiba-tiba saya teringat. Ada perkara saya mahu bagitau akak. "Oh ayah lupalah nak bagitau. Bangun tidur pagi tadi ayah nampak baby kucing akak dah mati... Si Smokey. Adik dah kebumikan."

Smokey ni anak kucing yang baru lahir. Baka parsi berwarna kelabu. Memang akak sayang sangat baby kucing ni. Tak panjang hayat nampaknya.

Akak yang tadi keriangan sebab dapat balik ke rumah dan mendapat anugerah sekolah tiba-tiba tunduk membisu. Kemudian meraung dengan kuat." Macamana boleh mati? Ayah tak jaga dia ke? "

Saya cuma mampu menjawab." Sabar kak, dah jangan sedih-sedih ok. Nanti ayah bawak pergi jalan-jalan ye. "

Akak terus menjeling tajam. Marah agaknya.

Fudlullah Ahmad

RINTIHAN JIWA




Jika diberi masa satu jam sahaja pasti akan ku manfaatkan setiap detik masa yang berlalu.

Namun ianya sudah menjadi Rahsia Ilahi.

Hanya ungkapan sesali dan keluhan tidak mendatangkan apa.

Doa sahaja yang dapat ku kirimkan setiap waktu.

Buat Bonda Ku Hajjah Misah Binti Omar.

Fudlullah Ahmad
26.02.19