“Setelah mengambil kira pandangan Penasihat Mahkamah, Pendakwa Raya, Pegawai Akhlak, serta rayuan kanak-kanak, mahkamah dengan ini menjatuhkan hukuman di bawah Seksyen 91(1)(f) Akta Kanak-Kanak 2001. Kanak-kanak tersebut diperintahkan dihantar ke Sekolah Henry Gurney.”
“Bangun…”
Semua yang berada di dalam mahkamah bangun dari tempat duduk masing-masing, memberi penghormatan kepada Tuan Majistret. Dari sudut yang lain, saya melihat Badar (bukan nama sebenar) menundukkan wajahnya, memandang ke lantai tanpa bergerak. Matanya berkaca, dan bahunya sedikit bergetar. Saya melangkah mendekatinya, cuba memberikan sedikit ketenangan.
“Badar… harap awak bersabar, ya. Walaupun saat ini terasa pahit, percayalah, ada hikmahnya. Tuhan sangat menyayangi kamu, sebab itu Dia memberikan peringatan dan peluang untuk berubah lebih awal. Kamu masih belum terlambat.”
Perlahan-lahan, Badar mengangkat wajahnya. Air mata mengalir deras di pipinya. Dia menyeka dengan belakang tangan, cuba menahan esak tangisnya. “Saya sedih, Tuan… Ibu tak mahu jumpa saya langsung. Abah pula tak datang pun…” suaranya lirih, hampir tenggelam dalam sendu.
Saya menarik nafas dalam. Iya, memang benar. Sebaik sahaja perbicaraan berakhir dan urusan dokumentasi selesai, ibunya terus berlalu pergi. Ayahnya pula langsung tidak hadir, seolah-olah enggan mengakui kewujudan anaknya sendiri. Mereka terlalu malu dengan kesalahan yang dilakukan Badar.
“Sabar ya, Badar. Beri mereka masa. Tuan Majistret sudah memerintahkan agar keluarga melawat dua kali sebulan. Jangan risau, mereka akan datang nanti.” Saya menatap matanya dengan penuh keyakinan dan meletakkan tangan di bahunya, cuba menyampaikan sedikit kekuatan.
Badar mengangguk perlahan. “Saya harap begitu… Saya rindukan mereka, Tuan. Saya menyesal…” suaranya bergetar, dan sekali lagi air matanya mengalir.
Saya tersenyum tipis. “Jangan risau, Badar. Jika kamu berkelakuan baik, mungkin kamu akan dibebaskan lebih awal. Ramai yang berjaya selepas keluar dari Sekolah Henry Gurney. Buktikan yang kamu juga boleh. Ibu bapa kamu… saya akan cuba uruskan nanti.”
Dua orang anggota polis menghampiri dan mengiringi Badar ke dalam, sebelum membawanya ke Sekolah Henry Gurney. Ini bukan kali pertama dia berhadapan dengan hukuman. Sudah berkali-kali diberikan nasihat dan dikenakan hukuman ringan, tetapi semuanya tidak membawa perubahan. Langkah terakhir—penghantaran ke institusi pemulihan—terpaksa diambil.
Di luar mahkamah, saya termenung sejenak. Hati terasa berat melihat anak-anak yang terjebak dalam kancah jenayah. Kadangkala, bukan salah mereka sepenuhnya. Ibu bapa terlalu sibuk mengejar kehidupan, mencari rezeki siang dan malam, hingga lupa ada anak yang memerlukan perhatian dan kasih sayang. Kanak-kanak bukan sekadar memerlukan perlindungan, tetapi juga bimbingan, pendidikan, dan rasa dicintai—seperti yang ditekankan dalam Konvensyen Hak Kanak-Kanak Sedunia.
Saya menarik nafas panjang, mengumpulkan kekuatan untuk meneruskan tugas. Masih banyak lagi fail kes kanak-kanak di tangan saya. Masih ramai anak-anak di luar sana yang perlu dibantu.
Dengan doa di hati, saya berharap Badar akan menemui jalan kejayaan. Semoga dia bangkit dan membuktikan bahawa masa silam tidak menentukan masa depan. Amin.
FUD AHMAD
No comments:
Post a Comment