Thursday, October 10, 2019

SIRI TOK ALI: Misteri Badi Mayat



Tok Ali: Misteri Badi Mayat
Karya: Fud Ahmad

Hujan lebat diluar dengan angin kuat menyebabkan pintu rumahnya terhempas dengan kuat. Sesekali, kertas putih berterbangan di sekitar rumah kerana pusingan kipas yang diputar laju. Walaupun hujan membasahi bumi, di dalam rumah Hadi, panas membahang seakan tidak ada hujan yang mampu menyejukkan. Peluh menitis di dahinya, membasahi singlet putih berlogokan pasukan keselamatan Malaysia. Seperti dia berada dalam sauna—terperangkap dalam dunia yang penuh ketegangan.

Matanya merah, dan dahinya berkerut, menggambarkan penderitaan yang ditanggung. Sesekali dia memandang keliling, mencari-cari lembaga hitam bermata merah yang selalu mengikutinya. Kemana sahaja Hadi pergi, pasti ekor matanya menangkap pergerakan lembaga itu. Sekian lama dia cuba menghalau gangguan ini dengan membaca ayat-ayat Al-Quran, berzikir, tetapi tiada apa yang berubah. Setiap hari, jiwanya semakin kacau. Keluarganya semakin menjauhkan diri, dan hatinya semakin marah tanpa sebab yang jelas.

Sebagai anggota keselamatan dalam unit jenayah berat, tugasnya sangat mencabar. Pergelutan dan pertempuran dengan penjenayah adalah makanan hariannya. Hadi dilatih untuk bertahan, menumpahkan darah jika perlu, demi tugas dan arahan yang diberikan. Namun, gangguan ini mengubah segala-galanya. Jiwanya semakin lemah, hati semakin pudar. Setiap kali operasi berakhir dan nyawa melayang, Hadi pasti merasa dirinya diganggu. Penjenayah yang mati di tangannya, wajah mereka jelas kelihatan di balik matanya. Dan itu, menyiksa jiwa yang sudah rapuh ini.

Bermula dengan peristiwa Ops Seberang lima tahun lalu, yang melibatkan kes rompakan bersenjata, gangguan ini bermula. Hadi berhasil menembak mati ketua kumpulan penjenayah yang kejam. Namun, ketika lelaki itu terbaring di tanah, darah membuak-buak keluar dari mulutnya, dia sempat berkata sesuatu yang tak dapat difahami, sebelum akhirnya menghembuskan nafas terakhir. Sejak itu, gangguan demi gangguan datang. Lembaga hitam, wajah orang-orang yang mati di tangannya, terus mengikutinya.

Hadi kini hanya menghabiskan masa di dalam bilik, mengasingkan diri daripada keluarga. Fatimah, isterinya, cuba untuk memahami, tetapi akhirnya dia keletihan. Anak-anak takut mendekati, kerana setiap kali mereka bertanya, Hadi hanya marah tanpa sebab. Hati Fatimah semakin terluka, dan akhirnya dia memilih untuk kembali ke kampung setiap hujung minggu, berharap dapat mencari sedikit ketenangan.

Pernah juga Fatimah mengajukan idea untuk Hadi berhenti kerja dan mencari pekerjaan lain. Tetapi Hadi tetap tidak memberi sebarang reaksi. Keadaan semakin teruk. Fatimah akhirnya menceritakan semua ini kepada kedua orang tuanya. Ibu Fatimah menyarankan agar mereka meminta bantuan Tok Ali, seorang guru silat yang juga memiliki kemampuan luar biasa dalam merawat gangguan seumpama ini.

Malam itu, Tok Ali datang bersama suami isteri Fatimah. Keadaan rumah Fatimah gelap, hanya disinari oleh kilatan petir di luar. Fatimah membuka pintu rumah dengan cepat, matanya mencari-cari kelibat suaminya. Motor Honda EX5 merah masih terparkir di luar, tetapi Hadi tiada di ruang tamu. Satu-satunya bilik yang belum dibuka adalah bilik solat.

Setelah membuka pintu bilik solat, mereka melihat Hadi terbaring di atas sejadah, tidak sedarkan diri. Dengan perlahan, mereka membaringkan Hadi di ruang tamu. Tok Ali segera mengusap kepala Hadi dan membaca sesuatu yang penuh makna. Tak lama selepas itu, Hadi tersedar dan duduk, mengesat mata yang basah dengan peluh.

"Kat mana saya ni?" tanya Hadi lemah, matanya masih blur.

"Abang, kami semua di sini," jawab Fatimah dengan suara penuh kerisauan. "Mak dan ayah pun datang," tambahnya.

Ayah Fatimah yang turut ada di situ berkata, "Hadi, ayah baru tahu tentang semua ini. Kalau tidak, takkanlah Fatimah nak cerita. Tok Ali ni kawan lama ayah. Dia boleh bantu."

Tok Ali memandang Hadi dengan pandangan yang dalam. "Hadi, kamu sedang diganggu oleh badi mayat. Jiwa kamu lemah, dan entiti ini telah menguasai tubuhmu. Walaupun kamu membaca ayat-ayat Al-Quran, ia tidak cukup. Kerana kamu tidak menyerahkan sepenuhnya kepada Allah. Gangguan ini menguasai pemikiranmu, dan itu yang membuatkan kamu melihat perkara-perkara yang mengerikan."

Tok Ali menambahkan, "Keluarga perlu bersama-sama dalam hal ini. Jangan buat sendirian. Kamu perlu berterus terang dengan majikanmu. Mereka perlu faham jika tidak, mereka hanya akan menganggap kamu yang bermasalah."

Hadi menunduk, merenung kata-kata Tok Ali. "Saya faham, tok. Apa yang perlu saya buat?"

"Ikut sahaja saranan saya, Hadi. Pertama, kamu perlu dimandikan dengan air bunga tujuh jenis bersama ais. Ini untuk mengembalikan semula aura kamu. Sambil itu, kamu perlu bersihkan rumah ini. Rumah yang kotor begini tidak akan mendatangkan kebaikan," kata Tok Ali tegas.

Fatimah segera menyediakan bunga-bunga yang diperlukan. Ais yang cukup banyak dalam peti sejuk. Mereka mengemas rumah hingga Tok Ali berpuas hati, memberikan ruang yang lebih bersih dan cerah untuk keluarga itu.

Setelah dimandikan dengan air bunga berais, Hadi merasa tubuhnya terketar-ketar menahan kesejukan. Namun, selepas tujuh siraman, dia merasa sesuatu yang luar biasa. Tok Ali memberinya minyak kasturi putih, dan Hadi merasa tubuhnya kembali segar dan ringan.

Tok Ali mengajak Hadi untuk solat bersama-sama. Setelah itu, mereka berzikir dan memanjatkan doa. Tok Ali membakar gaharu, menyebarkan aroma harum di seluruh rumah. Ketika rumah itu dipagar dengan air Surah Yassin, suasana rumah menjadi tenang dan nyaman.

"Bagaimana perasaan kamu sekarang, Hadi?" Tok Ali bertanya.

"Alhamdulillah, tok. Saya lega sangat. Jiwa saya tenang, sangat tenang," jawab Hadi, matanya penuh rasa syukur.

"Amalkan mandian bunga berais selama tujuh hari, sebelum Asar dan selepas Maghrib. Gunakan minyak kasturi putih itu. Ini bukan hanya untuk tubuh, tetapi untuk membersihkan jiwa. Yang penting, lepaskan semua bebanan dan serahkan pada Allah. Jangan biarkan perasaan bersalah terus menghantui hidup kamu," pesan Tok Ali.

Selepas itu, Tok Ali meminta diri untuk melanjutkan perjalanannya ke Kuala Lumpur, kerana ada seminar yang penting baginya. Dia menolak pelawaan keluarga untuk menginap, kerana dia tahu, selepas rawatan ini, rumah tangga mereka pasti akan pulih. Cinta mereka akan berbunga kembali.


Sekian.
Karya: Fud Ahmad


No comments:

Post a Comment