PUAKA POKOK KEMBOJA
Bunyi deringan telefon bimbit mengejutkan Mat dari tidurnya. Dibiarkan saja deringan itu sehingga berhenti sendiri.
Penat seharian menebang pokok kemboja di depan rumah masih belum hilang. Tiada siapa yang menolong. Pokok itu pula bukan kecil. Seluruh kudratnya habis digunakan. Entah kenapa, terasa pokok itu lebih berat dan sukar ditebang dari sepatutnya.
Akhirnya, pokok kemboja yang telah berusia lebih 10 tahun itu berjaya juga ditebang. Dahan-dahan dipotong kecil, daun dikumpulkan, lalu dibuang di tong sampah besar di Taman Jasmin, Senawang. Hatinya puas.
Ikutkan hati, mahu dibiarkan saja pokok itu hidup. Tetapi apabila melihat daunnya yang gugur dan getahnya yang melekat di bonet kereta, makin bertambah marahnya. Getah pokok kemboja bukan mudah ditanggalkan. Basuhan biasa takkan cukup. Mat naik geram.
Kini, setelah kerja selesai, dia mahu tidur sepuas-puasnya. Mata kembali terpejam. Namun, dalam keadaan mamai dan separuh sedar, Mat seolah-olah melihat seorang nenek tua bongkok tiga berjalan perlahan menuju ke arahnya. Langkahnya menyeret di lantai, bunyinya mendesir sayup-sayup. Dia berhenti betul-betul di hujung kaki Mat, lalu duduk.
Mat cuba bersuara, tetapi suaranya tersekat di kerongkong. Sejuk terasa di betisnya apabila nenek itu mula mengusap-ngusap kakinya dengan tangan berkedut.
Jantung Mat berdegup kencang. Peluh dingin mula membasahi dahinya.
Belum sempat Mat menjerit, nenek tua itu perlahan-lahan berubah wajah menjadi… isterinya.
Mat menarik nafas lega. Mulutnya yang terkunci tadi kembali bergerak.
"Awak ni... abang ingatkan hantu tadi. Nampak macam nenek kebayan. Kus… semangat!"
Mat cuba duduk dan melihat jam di dinding. Sudah pukul 3 pagi.
Isterinya mendengus kecil. "Abang ni… ni Ayanglah. Ha! Tidur lewat lagi. Suka sangat tidur kat sofa, kan? Hah, baguslah, sekarang baru nampak hantu. Padan muka. Dah... naik tidur kat atas! Saya nak tutup pintu dapur dulu."
Mat hanya memerhati isterinya berlalu ke dapur.
"Hah, selesai nanti naiklah dia tu," Mat mengomel sendiri. Dengan malas, dia mengangkat tubuh dan mula mendaki anak tangga. Setiap langkah terasa berat. Sampai di tingkat atas, Mat sempat menjenguk ke bilik Kakak.
Kosong.
Mat menarik nafas lega. Peristiwa diganggu "hantu Kakak" tempoh hari masih segar dalam ingatan. Tiga hari lamanya dia demam akibat kejadian itu.
Dia meneruskan langkah ke bilik sendiri. Kakak yang kini berada dalam Darjah 6 memang penakut. Ada bilik sendiri pun, malam-malam tetap mahu tidur sekali dengan mereka.
Mat merebahkan diri di atas tilam. Dia meluruskan kaki dan menggeliat seperti kucing. Fuh! Nikmat betul.
Dia mencapai telefon bimbit Samsung Grand Duos. Jarinya pantas membuka Facebook. Status yang ditulis pagi tadi hanya mendapat sepuluh 'like'. Punyalah berpinar mata mengarang, tapi tiada komen, apatah lagi ‘share’.
Mat mencemuh dalam hati. Cemburu pula bila melihat Ajis, kawan lamanya, yang kini bergelar 'influencer' Facebook. Tulis titik pun sudah beratus orang 'share'. Tak faham betul Mat.
Tiba-tiba—
"Tutuplah handphone tu… silaulah, orang nak tido ni!"
Mat tersentak.
Terkejut beruk!
Dia kenal suara itu.
Tetapi… isterinya masih di dapur tadi, kan?
Mat berpaling perlahan-lahan ke sisi.
Dadanya terasa sesak. Jantungnya berdegup laju. Tangannya menggigil.
Dan di situ, di sebelahnya… kelihatan sepasang mata merah menyala merenung tajam ke arahnya.
Mat terkaku.
Telefon di tangannya terlepas jatuh ke lantai.
Nafasnya tersekat.
Sejuk mencengkam seluruh tubuh.
Malam itu, Mat tidak tidur… dan dia tahu, dia tidak akan pernah melihat pokok kemboja dengan cara yang sama lagi.
No comments:
Post a Comment