3 Filem Tentang Penulis Yang Saya Tonton
Setakat ini, hanya tiga buah filem yang berkisarkan tentang penulis telah saya tonton dan masukkan dalam senarai tontonan.
1. Azhiyata Kolangal 2 (Tamil)
Kisah tentang seorang penulis terkenal yang dipuja semua orang—termasuk Perdana Menteri India—tiba-tiba meninggal dunia di rumah seorang Profesor Bahasa Inggeris bernama Mohana.
Kematian mengejut itu menjadi tanda tanya kepada semua dan menjadi liputan hangat. Ramai tidak percaya kata-kata Mohana walaupun mereka baru sahaja menghabiskan masa 24 jam terakhir bersama.
24 tahun lalu, mereka pernah menjadi rakan kolej tetapi tidak pernah bertemu semula sehinggalah hari kejadian.
Rata-rata menuduh Mohana mempunyai hubungan sulit dengan penulis tersebut—termasuk anak perempuan penulis sendiri.
Cerita yang banyak berlatarkan rumah ini dipenuhi emosi dan nostalgia. Setiap barang peninggalan penulis membawa penonton mengimbau kenangan lama.
Dalam babak akhir, isteri penulis hadir dan membelek sebuah buku terbaru suaminya. Di dalamnya tertulis:
“Kepada Mohana yang mendorongku menulis.”
Di situlah jawapannya.
Saya pasti setiap penulis mempunyai seseorang yang menjadi inspirasinya—mungkin ibu bapa, isteri, anak-anak, atau seseorang yang disukainya tetapi dipendam di dalam hati.
Jika bernasib baik, anda boleh menonton filem ini di Tamil Blockbuster Astro.
2. The Ghost Writer (Hollywood)
Filem lakonan Ewan McGregor yang membawa watak seorang penulis tanpa nama yang ditugaskan untuk menyambung memoir Perdana Menteri Britain, Adam Lang.
Namun, tugas itu akhirnya membawa nyawanya dalam bahaya.
Yang ini saya belum sempat tonton—masih mencari link! 😆
3. Ghost Writer (Indonesia)
Filem komedi seram ini mengisahkan seorang wanita bernama Naya yang sudah tiga tahun tidak menerbitkan novel baru.
Karya pertamanya dahulu sangat popular, tetapi dia kini hilang idea.
Suatu hari, Naya menemui sebuah diari lama dan berhasrat untuk menulis novel berdasarkan kisah di dalamnya.
Masalahnya, diari itu milik hantu bernama Galih.
Kalau nak tonton, boleh cari di Iflix.
Kesimpulannya, ketiga-tiga filem ini sangat menarik jika anda seorang penulis, bercita-cita menjadi penulis, atau sekadar suka menulis di Facebook.
Buat masa ini, saya belum jumpa filem Melayu yang benar-benar berkisar tentang dunia penulis. Jika ada, bagitahu saya.
Jangan cadangkan filem Ghost Rider ya. Itu hantu yang menunggang.
😆🔥
Mohd Fudlullah Ahmad
No comments:
Post a Comment