Wednesday, February 19, 2025

SIRI TOK ALI: ILMU TEPUK BANTAL

 

Petang itu, saya menerima panggilan daripada Tok Ali. Katanya ada satu kes meroyan di Seremban. Seperti biasa, bila ada kes gangguan, Tok Ali akan mengajak saya bersama sebagai pembantunya.

Tok Ali, seorang lelaki dalam lingkungan 60-an, memiliki penampilan sederhana. Sekali pandang, tiada apa yang istimewa tentangnya. Tidak seperti perawat lain yang berjubah dan berserban, dia lebih gemar memakai baju Melayu hitam dan seluar jeans. Sering kali, keluarga pesakit menyangka sayalah perawat kerana penampilan saya yang lebih ‘ustaz’. Bila dimaklumkan bahawa Tok Ali yang akan merawat, mereka tersipu malu.

Malam itu, kami menunggang motosikal menuju ke rumah pesakit. Tok Ali memaklumkan bahawa suami pesakit sudah tiga kali merayu untuk merawat isterinya, namun ada saja halangan. Tetapi kali ini, janji harus ditunaikan.

Setibanya di sana, suami pesakit menyambut kami dengan mesra. Rumah teres dua tingkat itu bersih dan tersusun rapi. “Pandai isterinya mengemas,” bisik hati saya.

Suaminya seorang jurutera di Kuala Lumpur, berperwatakan ramah dan mesra. Dua orang anak mereka leka bermain di ruang tamu. Saya hanya memerhati gelagat mereka sambil mendengar Tok Ali berbual. Tiba-tiba, saya berasa pedih di belakang tengkuk. Tangan saya mula kesejukan, dan kesejukan itu menjalar ke seluruh badan. Mata terasa berat. Saya cuba menahan kantuk, namun tersentak apabila Tok Ali menepuk paha saya.

“Masa begini pun kau sempat nak membuta?” bisiknya perlahan.

Saya hanya tersengih. Tidak lama kemudian, seorang wanita muda membawa dulang minuman. Dia duduk bersimpuh di sisi suaminya. Saya mula rasa tidak selesa apabila dia merenung tajam ke arah saya, dahinya berkerut, seolah-olah marah. Tetapi, anehnya, dia tersenyum manis apabila memandang Tok Ali. Hairan saya.

“Apa masalah isteri tuan?” soal Tok Ali, meletakkan cawan kopi di atas meja.

“Sudah puas saya bawa isteri berubat, tetapi penyakitnya tetap sama,” kata suaminya. Dia menghantar anak-anak tidur sebelum menyambung cerita.

“Isteri saya kerasukan tanpa sebab. Kadang-kadang dia berubah menjadi nenek tua, kadang-kadang seperti harimau. Dia mencakar dinding dan lantai rumah. Seram saya dibuatnya.”

Saya menelan liur. Suaminya menggenggam erat tangan isterinya.

“Saya juga selalu nampak kelibat wanita berbaju putih dalam rumah ini. Rambutnya panjang mengurai. Walaupun dia tidak mengganggu, kehadirannya menyesakkan jiwa. Apa saja ayat yang saya baca, langsung tiada kesan!”

Tok Ali mengangguk. “Baik, mari kita mulakan. Cara saya lain sikit. Saya akan gunakan teknik terapi jiwa untuk merungkai masalah sebenar.”

Wanita itu diminta melunjurkan kaki. Tok Ali menutup kakinya dengan kain, lalu mengarahkan saya membaca ayat rukyah di belakang pesakit. Saya bukanlah mahir, tetapi dengan kitab kecil di tangan, saya membaca juga.

Wanita itu tenang saja. Tiada sebarang tindak balas. Saya melaungkan azan di telinga kirinya, kemudian mengibas belakangnya dengan sejadah.

“Keluarlah kau, wahai musuh Allah!” seru saya beberapa kali.

Tiba-tiba, “Grrr... Grrr... Arghhh!”

Wanita itu memalingkan kepalanya ke arah saya dan menjerit. Suaranya garau, layaknya seperti harimau yang mahu menerkam mangsa.

“Pergi kau dari sini! Kau tak layak mengubat aku!”

Saya terloncat ke belakang Tok Ali. Jantung berdebar.

“Memang betul pun aku tak layak. Aku kan pembantu saja,” bisik hati saya, marah.

Tok Ali meminta suami menyedarkan isterinya. Dia tidak suka berdialog dengan gangguan. Wanita itu akhirnya tersedar selepas suaminya memujuk.

Tok Ali meminta dia meletakkan tangan di dada kiri. “Dengar arahan tok. Tutup mata dan bayangkan wajah ibu bapa kamu. Maafkan mereka. Jika sudah, angkat jari kamu.”

Wanita itu mula menangis.

“Sekarang, bayangkan wajah suami kamu. Maafkan dia.”

Belum sempat Tok Ali menghabiskan ayatnya, wanita itu meraung-raung, lalu memeluk kaki suaminya.

“Bang, maafkan saya! Saya bersalah! Saya telah menipu abang!”

Suaminya terpinga-pinga. “Apa maksud awak?”

Wanita itu menangis semakin kuat. “Saya guna-gunakan abang! Saya amalkan ilmu ‘tepuk bantal’ supaya abang cintakan saya dan jadikan saya isteri! Saya belajar ilmu ini sebelum kita kahwin!”

“Allahuakbar... Apa yang awak dah buat ni?” Suaminya menggelengkan kepala.

“Maafkan saya, bang. Hati saya tidak tenang! Saya takut abang akan tinggalkan saya kalau tahu perkara sebenar. Kita dah kahwin enam tahun...”

Suaminya menarik nafas panjang. “Tak apalah... Saya maafkan awak. Lupakan saja.”

Saya buat-buat tak nampak drama mereka. Seperti drama Melayu petang-petang.

Tok Ali menepuk bahu suami pesakit. “Maafkanlah dia. Hatinya terseksa. Ilmu ini akan tok buang, dengan izin Allah.”

Sesi rukyah terakhir dilakukan. Tok Ali membaca beberapa ayat, lalu meniup ubun-ubun wanita itu. Alhamdulillah, tiada lagi tindak balas menakutkan. Gangguan sudah tiada. Tok Ali membekalkan air penawar untuk mandi dan minum. Sebelum pulang, dia menasihati mereka agar sentiasa berzikir dan menguatkan hati dengan amalan baik.

Dalam perjalanan pulang, kami singgah di kedai mamak. Saya tidak tahan untuk bertanya.

“Tok, ilmu apa yang pesakit amalkan tu?”

“Oh, itu ilmu penunduk naga. Orang juga panggil ilmu tepuk bantal. Bacaan mentera dilakukan sambil menepuk bantal, memakrifatkan orang yang dituju.”

Saya teringat sesuatu. “Macam pernah dengar ilmu ni, tapi di mana ya?”

Tok Ali menghirup nescafe tarik. “Masa kau mengelamun di rumah tadi, tok sebenarnya sedang berperang dengan hantu ilmu tu. Mukanya, ya Rabbi... separuh cantik, separuh buruk. Habis tok dicakar, ditembak bola api. Syukur dengan izin Allah, semuanya selesai. Puas juga tok cover kau. Kalau tidak, dah lama dia masuk dalam badan kau.”

Saya terkedu. Rupa-rupanya, tanpa saya sedari, Tok Ali sedang bertempur. Syukur, Allah masih melindungi saya.

“Tok, kes seterusnya bila?” saya bertanya, teruja.

Tok Ali tersenyum sinis. “Bila kau sudah bersedia.”

Saya meneguk nescafe tarik perlahan. Dalam hati, saya berjanji untuk lebih bersedia di masa akan datang.


No comments:

Post a Comment