BERHUBUNG DENGAN ALAM GHAIB
Ini kisah benar pengalaman aku. Sejak dulu, aku memang teruja dengan dunia mistik. Rasa ingin tahu terhadap alam ghaib begitu membuak-buak dalam diri. Keinginan untuk melihat sendiri makhluk dari dunia lain semakin membara, lebih-lebih lagi selepas mendengar pelbagai kisah seram dari rakan-rakan.
Peluang itu akhirnya datang bila Ajis, rakan sepermainanku, mengajak ke Melaka minggu hadapan. Katanya, kami akan bertemu seorang lelaki tua, penjaga sebuah rumah berhantu. Di situlah, segala rahsia mistik akan dibukakan. Huh!
Dalam tempoh seminggu itu, aku mempersiapkan diri. Pagi selepas Subuh, aku mula berlari dari Taman Matahari Indah ke taman permainan di Taman Bandar Senawang. Di situ, aku melakukan pelbagai latihan untuk menguatkan tubuh. Mujurlah ada peralatan senaman, tinggal rajin atau tidak saja.
Selepas Maghrib, aku berlatih silat—mengasah jurus tenaga dalam. Pukul 2 pagi pula, aku duduk bersila di dalam bilik gelap, mengamalkan zikir yang mustajab hingga Subuh. Ada ketika, aku tidak tidur langsung.
Aku yakin. Aku sudah bersedia—zahir dan batin.
Misi Ke Melaka
Tiba harinya, aku dan Ajis bertolak ke Melaka. Destinasi: Ayer Keroh. Kami tiba awal, sempat solat Maghrib di sebuah stesen minyak. Malam itu terasa luar biasa dingin. Aku mengambil sedikit tanah, membaca ayat penggerak, lalu melangkah penuh keyakinan. Ajis di sebelah hanya memerhati.
Di lokasi, seorang lelaki tua berpakaian lusuh menyambut kami. Umurnya sekitar 60-an, matanya merah, dan di bibirnya sebatang curut tanpa api.
"Apa benar anak berdua mahu melihat makhluk halus di rumah ini?" soalnya dengan suara serak.
Ajis yang tadi berlagak berani tiba-tiba gelabah, mahu menarik diri. Aku pula pantang undur!
"Kalau begitu, mesti ada pengerasnya," kata lelaki tua itu lagi. "RM20 untuk dua orang. Pasti berhasil."
Tanpa berfikir panjang, aku segera menghulurkan wang.
"Mulakan dengan nama Allah, jangan bimbang. Lalulah pintu ini, teruskan perjalanan. Nanti, kamu akan melihat sendiri rahsia alam ghaib."
Lelaki tua itu membaca sesuatu lalu menghembus ke mata kami berdua. Pandanganku berpinar seketika.
Kami melangkah masuk. Belum sempat menyesuaikan diri dengan suasana gelap di dalam rumah, bulu romaku tiba-tiba meremang. Ajis menggenggam erat lenganku.
Tiba-tiba, hidungku menangkap bau wangi. Aneh. Sekejap kemudian, bau itu hilang, diganti dengan bau busuk yang menusuk.
Dalam samar cahaya, aku melihat…
Hantu Betul Ke?
Seorang wanita berbaju putih berdiri di hadapan kami. Mukanya pucat, darah menitis dari kedua matanya. Rambut panjang mengurai tidak terurus. Tiba-tiba, dia mendepangkan tangan dan meluru ke arah kami sambil mengilai!
Ajis menjerit, terus lari lintang-pukang meninggalkan aku.
Ketika itu jugalah, makhluk-makhluk lain mula muncul. Aku sempat melihat ke kanan—langsuir melayang perlahan ke arahku, tali ususnya terjuntai ke bawah, darah menitis. Di sudut lain, sepasang jenglot bermata merah liar bergerak mencari mangsa.
"Ah, sudah!" Hilang segala ilmu persilatan yang aku persiapkan! Aku terus memecut, mengejar Ajis mencari jalan keluar!
Kebenaran Terbongkar
1 jam 39 minit kemudian.
Aku duduk di sebuah warung tidak jauh dari lokasi tadi, menghirup sup panas untuk menenangkan diri.
Dari jauh, aku memerhatikan lelaki tua tadi sibuk meniup mata pengunjung lain sambil mengutip duit.
Saat itulah aku ternampak papan tanda besar di tepi jalan:
"RUMAH HANTU EKSPO MELAKA"
DEWASA: RM10
Hantu betul kau, Ajis!
GRRRRR!
Karya: Ibnu Ahmad
Untuk: Pertandingan menulis kisah seram Puaka Bersekutu