Wednesday, February 19, 2025

"Doktor, Saya Bukan Sakit... Saya Geli!"

 


"Doktor, Saya Bukan Sakit... Saya Geli!"

Pagi tadi, akhirnya aku gagahkan diri ke Klinik Senawang setelah semalaman tak boleh tidur.

Bukan sebab banyak berfikir... tapi sebab pinggang dan belakang badan sakit mencucuk-cucuk. Nak bangun pun rasa azab!

Nombor 103 dipanggil—giliranku tiba. Di pintu, tertera nama seorang doktor perempuan. Dalam hati, "Kalau kena inject, reda jelah..." sempat terlintas sebelum aku pulas tombol pintu.


Di dalam bilik pemeriksaan...

Doktor mengarahkanku duduk. Aku ceritakan segala penderitaan sejak malam tadi.

Doktor minta aku baring, lalu menekan tulang belakang, belikat, dan bahu.

"Sakit tak?"

Aku jawab “Tak sakit apa-apa.”

Dia angkat kaki kiriku sedikit.

"Sakit?"

“Ok je, doktor.”

Doktor angkat kaki kanan pula.

"Sakit?"

"Semua ok, doktor."

Doktor mula berkerut dahi. Akhirnya, dia tarik baju aku ke atas hingga nampak perut yang agak membulat itu.

Dia tekan rusuk kiri dan kanan.

Tiba-tiba...

Aku meronta-ronta macam kena kejutan elektrik. Peluh dingin membasahi dahi.

Doktor tenangkan aku, lalu berkata, "Saya rasa ini ada kaitan dengan perut. Mungkin batu karang. Pemeriksaan lanjut diperlukan."

Aku duduk semula, betulkan baju, tarik nafas, dan dengan penuh keyakinan aku jawab:

"Err... Doktor... Sebenarnya tadi saya tak tahan geli..."

Doktor tersenyum kelat.

Sebelum aku keluar, Doktor Khevin Raj (yang menggantikan Dr Amalina) sempat bertanya...

"Confirm ye u tak nak inject?" 😆

"Mesin Ke Saya Yang Berat?"

 


"Mesin Ke Saya Yang Berat?"

Azam nak kuruskan badan dah lama ada. Tapi kali ini, saya tukar niat—bukan nak kurus, tapi nak sihat.

Sampai di taman rekreasi saya cuba guna satu alat senaman. Tapi pelik... berat betul! Langsung tak boleh nak angkat.

Saya tanya, "Ayien, kenapa ayah tak boleh angkat ni? Berat betul! Mesin ni rosak ke?"

Dia jawab selamba, "Alat tu ikut berat badan kita, ayah. Kalau lebih 100kg, mesti payah."

Adeh! 😅

Bukit Taisho Vol 1/22






 

Bukit Taisho Vol 1/22
Siri Mencari Awan Permaidani

Alhamdulillah! Hari ini saya bersama rakan-rakan akhirnya berjaya menawan Bukit Taisho, Bahau, N9.

Dengan ketinggian 330M, laluan naik memang menguji mental dan fizikal—terutama bagi saya yang orang baru dalam dunia pendakian.

20 minit pertama, rasa macam nak angkat bendera putih je. Tapi berkat sokongan kawan-kawan, isteri, dan anak bujang yang turut serta, berjaya juga sampai ke puncak.

Paling menarik, hari ini dapat melihat awan karpet! 🌫️⛰️ Momen yang ditunggu-tunggu ramai pendaki.

Satu lagi yang saya perasan—semua kaum, tak kira Melayu atau Cina, cukup peramah. Setiap orang bagi sokongan untuk kita terus mendaki.

Agaknya mereka tengok muka saya dah azab sangat nak sampai atas. 😆

"Bukit Sikai: Bila Semua Orang Lagi Power"


             



 




Bukit Sikai Vol 2/22
Siri Mencari Awan Permaidani

Saya gosok-gosok tangan, sesekali asap halus keluar dari mulut. Sejuk!

Di ketinggian 280M, hiruk-pikuk dunia luar terasa jauh. Tenang.

Seorang brother pendaki solo dari Kuala Lumpur memandang saya. Saya pun cuba beramah mesra.

"First time ke bang?" saya bertanya.

"Iya, kali pertama. Memang dah lama azam nak datang sini," jawabnya ringkas.

Saya pun mula bercerita tanpa diminta. 🙄

"Bang, sebulan lalu berat saya 120kg. Pagi tadi timbang dah 105kg. Target nak turun bawah 100 ni!"

Nada bangga sikit—walaupun masih dalam kategori Obes Kelas 2.

Brother tu angguk. "Mantap tu, terbaik bang. Saya pun dulu gemuk juga. Berkat dorongan kawan, keluarga..."

Saya minum air mineral sambil bertanya, "Berat abang dulu berapa? Ada dalam 98kg tak?"

Dia senyum dan jawab, "145kg je bang."

OMANG AI! Terus jadi idola. 😅

Tiba-tiba, seorang brother dari Rembau menyampuk.

"Bukit Sikai ni dah berapa kali naik?"

Saya eksye sikit, tunjuk dua jari. "Adolah dalam 2 kali."

Saya tanya balik, "Abang pula, pernah naik Gunung Datok?"

Dia bangun dari batu putih, kemaskan kasut, dan jawab dengan selamba…

"Hm... 6 kali jugaklah."

Huhuhu... Power semua! 😅

Apapun tak boleh!

KABUS

 

Jalan Kuala Pilah ni memang sentiasa berkabus, sejuk macam Cameron Highlands.

Kalau naik motor tanpa jaket atau pakaian tebal, memang kejung dibuatnya.

Kawan saya dari Kuala Lumpur pernah kata, "Laluan ke Teraci pun berkabus."

Saya tanya, "Waktu tengah hari ke?"

Dia angguk bersungguh-sungguh. "Iya, berkabus!"

Saya senyum dan jawab, "Tu bukan kabus bro, tu asap itik salai."

😆🔥

3 Filem Tentang Penulis Yang Saya Tonton

 

3 Filem Tentang Penulis Yang Saya Tonton

Setakat ini, hanya tiga buah filem yang berkisarkan tentang penulis telah saya tonton dan masukkan dalam senarai tontonan.

1. Azhiyata Kolangal 2 (Tamil)

Kisah tentang seorang penulis terkenal yang dipuja semua orang—termasuk Perdana Menteri India—tiba-tiba meninggal dunia di rumah seorang Profesor Bahasa Inggeris bernama Mohana.

Kematian mengejut itu menjadi tanda tanya kepada semua dan menjadi liputan hangat. Ramai tidak percaya kata-kata Mohana walaupun mereka baru sahaja menghabiskan masa 24 jam terakhir bersama.

24 tahun lalu, mereka pernah menjadi rakan kolej tetapi tidak pernah bertemu semula sehinggalah hari kejadian.

Rata-rata menuduh Mohana mempunyai hubungan sulit dengan penulis tersebut—termasuk anak perempuan penulis sendiri.

Cerita yang banyak berlatarkan rumah ini dipenuhi emosi dan nostalgia. Setiap barang peninggalan penulis membawa penonton mengimbau kenangan lama.

Dalam babak akhir, isteri penulis hadir dan membelek sebuah buku terbaru suaminya. Di dalamnya tertulis:

“Kepada Mohana yang mendorongku menulis.”

Di situlah jawapannya.

Saya pasti setiap penulis mempunyai seseorang yang menjadi inspirasinya—mungkin ibu bapa, isteri, anak-anak, atau seseorang yang disukainya tetapi dipendam di dalam hati.

Jika bernasib baik, anda boleh menonton filem ini di Tamil Blockbuster Astro.


2. The Ghost Writer (Hollywood)

Filem lakonan Ewan McGregor yang membawa watak seorang penulis tanpa nama yang ditugaskan untuk menyambung memoir Perdana Menteri Britain, Adam Lang.

Namun, tugas itu akhirnya membawa nyawanya dalam bahaya.

Yang ini saya belum sempat tonton—masih mencari link! 😆


3. Ghost Writer (Indonesia)

Filem komedi seram ini mengisahkan seorang wanita bernama Naya yang sudah tiga tahun tidak menerbitkan novel baru.

Karya pertamanya dahulu sangat popular, tetapi dia kini hilang idea.

Suatu hari, Naya menemui sebuah diari lama dan berhasrat untuk menulis novel berdasarkan kisah di dalamnya.

Masalahnya, diari itu milik hantu bernama Galih.

Kalau nak tonton, boleh cari di Iflix.


Kesimpulannya, ketiga-tiga filem ini sangat menarik jika anda seorang penulis, bercita-cita menjadi penulis, atau sekadar suka menulis di Facebook.

Buat masa ini, saya belum jumpa filem Melayu yang benar-benar berkisar tentang dunia penulis. Jika ada, bagitahu saya.

Jangan cadangkan filem Ghost Rider ya. Itu hantu yang menunggang.

😆🔥

Mohd Fudlullah Ahmad