Monday, October 14, 2019

SIRI ANEKDOT: "Badar yang Dulu, Badar yang Kini"

Di sebuah kedai makan, seorang lelaki berusia 39 tahun sedang duduk menikmati secawan Nescafe panas yang masih berasap. Satu-satunya peneman setianya adalah sebuah ‘handphone’ yang sudah kehabisan bateri. Sepertinya, dia hanya ditemani oleh kesunyian. Kalau ada buku anekdot ragam budak sekolah, barulah hilang kebosanan.

Tiba-tiba, suara seorang lelaki memecah lamunan.

“Bang, kenal saya lagi tak?”

Saya menoleh, mencari suara itu. Seorang lelaki berjanggut dan berkumis tersenyum memandang saya. Wajahnya bersih dan harum kasturi.

“Maaf, saya lupalah. Boleh saya tahu awak siapa?” saya bertanya, memandang tepat ke wajahnya.

“Sayalah Badar. Klien abang 10 tahun dulu. Tak ingat eh?” katanya sambil menarik kerusi dan duduk di hadapan saya.

“Allah, kalau kau tak bagitau, abang memang tak ingat. Badar dah besar ko sekarang, ye?” Saya terkejut. Mengikut rekod, Badar dulu seorang pelajar bermasalah, gagal dalam pelajaran, dan terlibat dengan kes jenayah kanak-kanak. Dia dihantar ke Sekolah Henry Gurney selama 3 tahun.

“Abang tumpang gembira tau. Kau tak marah kat abang ke? Sebab abang yang syorkan ko masuk sana,” saya bertanya lagi.

Badar tersenyum, “Mestilah marah… tapi lama-lama saya sedar inilah jalan terbaik. Guru saya kata, ‘Jagalah amanah yang diberi.’ Hasilnya, saya berjaya, bang.”

Saya memerhatikan dia, takjub. Wajahnya kini bersih, dan di poketnya terlihat tasbih yang sedikit terkeluar. “Budak karkun agaknya ni,” bisik hati saya.

“Jadi, apa projek kau sekarang?” saya bertanya, tidak puas hati.

“Saya belajar di UKM, bang. Tak lama lagi habislah, dalam bidang mekanikal. Maaf ye, saya tak boleh lama-lama. Ibu saya tunggu dalam kereta, nak lari bungkus air sekejap je,” katanya, sambil bangun.

Saya hanya memandangnya pergi, tiba-tiba air mata mengalir di pipi. Ya Allah, dulu ibunya langsung tidak mahu mengambil peduli tentang dirinya, tapi kini, asbab doa dan kesungguhan, ibunya kembali menerima.

Tiba-tiba, saya menjerit kepada Badar yang sudah hampir hilang dari pandangan.

“Badar! Kau nak tanya apa tadi?” saya menyoal dengan penuh rasa ingin tahu.

Badar berpaling, tersenyum nakal. “Takda apa, bang… cuma nak cakap, dulu abang kurus, sekarang kenapa dah gomok? Itu je!”

Saya tersentak, “Eh geram pulak aku... menyesal tanya. Adeh!”

FUD AHMAD




JEJAK BADAR: PENGADILAN DAN HARAPAN

 
JEJAK BADAR: PENGADILAN DAN HARAPAN

“Setelah mengambil kira pandangan Penasihat Mahkamah, Pendakwa Raya, Pegawai Akhlak, serta rayuan kanak-kanak, mahkamah dengan ini menjatuhkan hukuman di bawah Seksyen 91(1)(f) Akta Kanak-Kanak 2001. Kanak-kanak tersebut diperintahkan dihantar ke Sekolah Henry Gurney.”

“Bangun…”

Semua yang berada di dalam mahkamah bangun dari tempat duduk masing-masing, memberi penghormatan kepada Tuan Majistret. Dari sudut yang lain, saya melihat Badar (bukan nama sebenar) menundukkan wajahnya, memandang ke lantai tanpa bergerak. Matanya berkaca, dan bahunya sedikit bergetar. Saya melangkah mendekatinya, cuba memberikan sedikit ketenangan.

“Badar… harap awak bersabar, ya. Walaupun saat ini terasa pahit, percayalah, ada hikmahnya. Tuhan sangat menyayangi kamu, sebab itu Dia memberikan peringatan dan peluang untuk berubah lebih awal. Kamu masih belum terlambat.”

Perlahan-lahan, Badar mengangkat wajahnya. Air mata mengalir deras di pipinya. Dia menyeka dengan belakang tangan, cuba menahan esak tangisnya. “Saya sedih, Tuan… Ibu tak mahu jumpa saya langsung. Abah pula tak datang pun…” suaranya lirih, hampir tenggelam dalam sendu.

Saya menarik nafas dalam. Iya, memang benar. Sebaik sahaja perbicaraan berakhir dan urusan dokumentasi selesai, ibunya terus berlalu pergi. Ayahnya pula langsung tidak hadir, seolah-olah enggan mengakui kewujudan anaknya sendiri. Mereka terlalu malu dengan kesalahan yang dilakukan Badar.

“Sabar ya, Badar. Beri mereka masa. Tuan Majistret sudah memerintahkan agar keluarga melawat dua kali sebulan. Jangan risau, mereka akan datang nanti.” Saya menatap matanya dengan penuh keyakinan dan meletakkan tangan di bahunya, cuba menyampaikan sedikit kekuatan.

Badar mengangguk perlahan. “Saya harap begitu… Saya rindukan mereka, Tuan. Saya menyesal…” suaranya bergetar, dan sekali lagi air matanya mengalir.

Saya tersenyum tipis. “Jangan risau, Badar. Jika kamu berkelakuan baik, mungkin kamu akan dibebaskan lebih awal. Ramai yang berjaya selepas keluar dari Sekolah Henry Gurney. Buktikan yang kamu juga boleh. Ibu bapa kamu… saya akan cuba uruskan nanti.”

Dua orang anggota polis menghampiri dan mengiringi Badar ke dalam, sebelum membawanya ke Sekolah Henry Gurney. Ini bukan kali pertama dia berhadapan dengan hukuman. Sudah berkali-kali diberikan nasihat dan dikenakan hukuman ringan, tetapi semuanya tidak membawa perubahan. Langkah terakhir—penghantaran ke institusi pemulihan—terpaksa diambil.

Di luar mahkamah, saya termenung sejenak. Hati terasa berat melihat anak-anak yang terjebak dalam kancah jenayah. Kadangkala, bukan salah mereka sepenuhnya. Ibu bapa terlalu sibuk mengejar kehidupan, mencari rezeki siang dan malam, hingga lupa ada anak yang memerlukan perhatian dan kasih sayang. Kanak-kanak bukan sekadar memerlukan perlindungan, tetapi juga bimbingan, pendidikan, dan rasa dicintai—seperti yang ditekankan dalam Konvensyen Hak Kanak-Kanak Sedunia.

Saya menarik nafas panjang, mengumpulkan kekuatan untuk meneruskan tugas. Masih banyak lagi fail kes kanak-kanak di tangan saya. Masih ramai anak-anak di luar sana yang perlu dibantu.

Dengan doa di hati, saya berharap Badar akan menemui jalan kejayaan. Semoga dia bangkit dan membuktikan bahawa masa silam tidak menentukan masa depan. Amin.

FUD AHMAD







Thursday, October 10, 2019

SIRI TOK ALI: Misteri Badi Mayat



Tok Ali: Misteri Badi Mayat
Karya: Fud Ahmad

Hujan lebat diluar dengan angin kuat menyebabkan pintu rumahnya terhempas dengan kuat. Sesekali, kertas putih berterbangan di sekitar rumah kerana pusingan kipas yang diputar laju. Walaupun hujan membasahi bumi, di dalam rumah Hadi, panas membahang seakan tidak ada hujan yang mampu menyejukkan. Peluh menitis di dahinya, membasahi singlet putih berlogokan pasukan keselamatan Malaysia. Seperti dia berada dalam sauna—terperangkap dalam dunia yang penuh ketegangan.

Matanya merah, dan dahinya berkerut, menggambarkan penderitaan yang ditanggung. Sesekali dia memandang keliling, mencari-cari lembaga hitam bermata merah yang selalu mengikutinya. Kemana sahaja Hadi pergi, pasti ekor matanya menangkap pergerakan lembaga itu. Sekian lama dia cuba menghalau gangguan ini dengan membaca ayat-ayat Al-Quran, berzikir, tetapi tiada apa yang berubah. Setiap hari, jiwanya semakin kacau. Keluarganya semakin menjauhkan diri, dan hatinya semakin marah tanpa sebab yang jelas.

Sebagai anggota keselamatan dalam unit jenayah berat, tugasnya sangat mencabar. Pergelutan dan pertempuran dengan penjenayah adalah makanan hariannya. Hadi dilatih untuk bertahan, menumpahkan darah jika perlu, demi tugas dan arahan yang diberikan. Namun, gangguan ini mengubah segala-galanya. Jiwanya semakin lemah, hati semakin pudar. Setiap kali operasi berakhir dan nyawa melayang, Hadi pasti merasa dirinya diganggu. Penjenayah yang mati di tangannya, wajah mereka jelas kelihatan di balik matanya. Dan itu, menyiksa jiwa yang sudah rapuh ini.

Bermula dengan peristiwa Ops Seberang lima tahun lalu, yang melibatkan kes rompakan bersenjata, gangguan ini bermula. Hadi berhasil menembak mati ketua kumpulan penjenayah yang kejam. Namun, ketika lelaki itu terbaring di tanah, darah membuak-buak keluar dari mulutnya, dia sempat berkata sesuatu yang tak dapat difahami, sebelum akhirnya menghembuskan nafas terakhir. Sejak itu, gangguan demi gangguan datang. Lembaga hitam, wajah orang-orang yang mati di tangannya, terus mengikutinya.

Hadi kini hanya menghabiskan masa di dalam bilik, mengasingkan diri daripada keluarga. Fatimah, isterinya, cuba untuk memahami, tetapi akhirnya dia keletihan. Anak-anak takut mendekati, kerana setiap kali mereka bertanya, Hadi hanya marah tanpa sebab. Hati Fatimah semakin terluka, dan akhirnya dia memilih untuk kembali ke kampung setiap hujung minggu, berharap dapat mencari sedikit ketenangan.

Pernah juga Fatimah mengajukan idea untuk Hadi berhenti kerja dan mencari pekerjaan lain. Tetapi Hadi tetap tidak memberi sebarang reaksi. Keadaan semakin teruk. Fatimah akhirnya menceritakan semua ini kepada kedua orang tuanya. Ibu Fatimah menyarankan agar mereka meminta bantuan Tok Ali, seorang guru silat yang juga memiliki kemampuan luar biasa dalam merawat gangguan seumpama ini.

Malam itu, Tok Ali datang bersama suami isteri Fatimah. Keadaan rumah Fatimah gelap, hanya disinari oleh kilatan petir di luar. Fatimah membuka pintu rumah dengan cepat, matanya mencari-cari kelibat suaminya. Motor Honda EX5 merah masih terparkir di luar, tetapi Hadi tiada di ruang tamu. Satu-satunya bilik yang belum dibuka adalah bilik solat.

Setelah membuka pintu bilik solat, mereka melihat Hadi terbaring di atas sejadah, tidak sedarkan diri. Dengan perlahan, mereka membaringkan Hadi di ruang tamu. Tok Ali segera mengusap kepala Hadi dan membaca sesuatu yang penuh makna. Tak lama selepas itu, Hadi tersedar dan duduk, mengesat mata yang basah dengan peluh.

"Kat mana saya ni?" tanya Hadi lemah, matanya masih blur.

"Abang, kami semua di sini," jawab Fatimah dengan suara penuh kerisauan. "Mak dan ayah pun datang," tambahnya.

Ayah Fatimah yang turut ada di situ berkata, "Hadi, ayah baru tahu tentang semua ini. Kalau tidak, takkanlah Fatimah nak cerita. Tok Ali ni kawan lama ayah. Dia boleh bantu."

Tok Ali memandang Hadi dengan pandangan yang dalam. "Hadi, kamu sedang diganggu oleh badi mayat. Jiwa kamu lemah, dan entiti ini telah menguasai tubuhmu. Walaupun kamu membaca ayat-ayat Al-Quran, ia tidak cukup. Kerana kamu tidak menyerahkan sepenuhnya kepada Allah. Gangguan ini menguasai pemikiranmu, dan itu yang membuatkan kamu melihat perkara-perkara yang mengerikan."

Tok Ali menambahkan, "Keluarga perlu bersama-sama dalam hal ini. Jangan buat sendirian. Kamu perlu berterus terang dengan majikanmu. Mereka perlu faham jika tidak, mereka hanya akan menganggap kamu yang bermasalah."

Hadi menunduk, merenung kata-kata Tok Ali. "Saya faham, tok. Apa yang perlu saya buat?"

"Ikut sahaja saranan saya, Hadi. Pertama, kamu perlu dimandikan dengan air bunga tujuh jenis bersama ais. Ini untuk mengembalikan semula aura kamu. Sambil itu, kamu perlu bersihkan rumah ini. Rumah yang kotor begini tidak akan mendatangkan kebaikan," kata Tok Ali tegas.

Fatimah segera menyediakan bunga-bunga yang diperlukan. Ais yang cukup banyak dalam peti sejuk. Mereka mengemas rumah hingga Tok Ali berpuas hati, memberikan ruang yang lebih bersih dan cerah untuk keluarga itu.

Setelah dimandikan dengan air bunga berais, Hadi merasa tubuhnya terketar-ketar menahan kesejukan. Namun, selepas tujuh siraman, dia merasa sesuatu yang luar biasa. Tok Ali memberinya minyak kasturi putih, dan Hadi merasa tubuhnya kembali segar dan ringan.

Tok Ali mengajak Hadi untuk solat bersama-sama. Setelah itu, mereka berzikir dan memanjatkan doa. Tok Ali membakar gaharu, menyebarkan aroma harum di seluruh rumah. Ketika rumah itu dipagar dengan air Surah Yassin, suasana rumah menjadi tenang dan nyaman.

"Bagaimana perasaan kamu sekarang, Hadi?" Tok Ali bertanya.

"Alhamdulillah, tok. Saya lega sangat. Jiwa saya tenang, sangat tenang," jawab Hadi, matanya penuh rasa syukur.

"Amalkan mandian bunga berais selama tujuh hari, sebelum Asar dan selepas Maghrib. Gunakan minyak kasturi putih itu. Ini bukan hanya untuk tubuh, tetapi untuk membersihkan jiwa. Yang penting, lepaskan semua bebanan dan serahkan pada Allah. Jangan biarkan perasaan bersalah terus menghantui hidup kamu," pesan Tok Ali.

Selepas itu, Tok Ali meminta diri untuk melanjutkan perjalanannya ke Kuala Lumpur, kerana ada seminar yang penting baginya. Dia menolak pelawaan keluarga untuk menginap, kerana dia tahu, selepas rawatan ini, rumah tangga mereka pasti akan pulih. Cinta mereka akan berbunga kembali.


Sekian.
Karya: Fud Ahmad


SIRI TOK ALI: "Harta Karun Berhantu: Pengembaraan Ghaib Tok Ali"


"Harta Karun Berhantu: Pengembaraan Ghaib Tok Ali"

Tok Ali bukan sekadar sahabat, guru, atau abang, tapi bagiku, dia adalah segala-galanya. Jika ada perkara yang pelik dan mistik, Tok Ali pasti terlibat. Sudah banyak kali aku menjadi saksi dalam perjalanan yang penuh dengan keanehan. Tapi kali ini, undangan dari Tok Ali untuk bertemu dengan gurunya di Kuala Pilah bukan sahaja menarik minatku, tetapi membawa aku ke dalam pengembaraan yang jauh lebih gelap dan menyeramkan.

Tok Ali memperkenalkan aku kepada seorang guru yang hanya dikenali sebagai Ustaz. Seorang lelaki tua yang katanya mampu membuka hijab dunia ghaib, membawa sesiapa yang berani melalui perjalanan rohani. Tidak lama selepas itu, Tok Ali memberitahuku tentang satu rahsia yang sudah lama ditunggu-tunggu – harta karun emas Jepun yang tersembunyi di suatu tempat yang sangat misteri. Rahsia itu diwariskan oleh seorang tua, lengkap dengan lokasi. Namun, tempat itu dijaga oleh sesuatu yang tidak dapat dijelaskan oleh akal manusia.

Pada malam itu, setelah solat Isyak, kami bertiga, Tok Ali, Pak Ajis, dan aku, memulakan perjalanan menuju ke Kuala Pilah. Pak Ajis, walaupun seorang pesara yang pendiam, sering kali menjadi saksi dalam pencarian yang penuh dengan rahsia ini. Aku hanya mendiamkan diri, lebih tertanya-tanya tentang harta karun yang dijaga oleh penjaga yang tidak dapat dilihat oleh mata kasar.

Setibanya di rumah guru Tok Ali, kami duduk mengelilingi kopi panas sambil mendengar perbincangan yang lebih rumit dari dunia makrifat yang jauh dari jangkauan akalku. Namun, aku lebih tertarik pada apa yang akan datang selepas itu. Sebuah ritual yang melibatkan zikir, meditasi, dan Astral Travel. Dengan harapan mendapat petunjuk, kami semua memasuki bilik kecil yang disediakan di rumah tradisional Minang itu.

Zikir Lailahaillallah dipandu oleh guru Tok Ali. Suara mereka bergema, memberi kesan dalam diri yang sukar digambarkan. Satu persatu, kami memasuki dunia yang tiada bentuk. Dunia rohani yang membimbing sukma kami keluar dari tubuh. Dan tepat di sinilah, Tok Ali akhirnya mendapat petunjuk – lokasi tersembunyi itu kini terbuka, lengkap dengan amaran dari penjaganya.

Sekali lagi, kami kembali memulakan perjalanan. Hutan yang luas di Negeri Pahang menanti kami. Malam semakin gelap, angin malam berdesir mengiringi langkah kami. Walaupun ketakutan semakin menguasai, aku tetap berjalan, lebih teruja untuk melihat emas yang dikatakan akan mengubah hidup kami.

Namun, malam itu bukanlah seperti yang kami sangkakan. Ketika kami sampai di lokasi, bukit yang kami daki, angin yang kuat, semuanya seakan-akan memberikan petanda buruk. Di bawah cahaya bulan, suasana menjadi lebih suram. Tanpa disangka, muncul bau wangi yang menusuk, diikuti dengan hembusan angin yang tiba-tiba membawa bisikan halus.

Aku mula merasakan ada sesuatu yang tidak kena. Bau itu semakin kuat, dan sesuatu yang ghaib mula mendekati. Suara halus di telinga semakin jelas, memanggil, menggoda. Dan tiba-tiba, di atas pokok, muncul sesosok makhluk – seorang wanita berbaju putih, rambut panjang mengerbang, wajahnya kabur dan penuh dengan kemarahan.

“Turun sini, woi! Dah berjam-jam aku tunggu kau. Apa kau ingat kau boleh cari harta ini tanpa bayaran?” Suara itu berbisik, menggegarkan jiwa kami. Tok Ali, yang tidak gentar, mencabar penjaga itu, mengacukan keris ke arahnya. Apa yang berlaku selepas itu adalah di luar jangkaan. Penjaga itu bergerak dengan kelajuan yang menakutkan, dan dalam sekelip mata, ia menuju ke arahku.

Tiba-tiba, aku menjerit sekuat hati, namun tidak lama selepas itu, aku jatuh pengsan. Apa yang berlaku seterusnya hanya tinggal kenangan yang sukar diungkapkan. Aku terjaga keesokan harinya, tidak ingat apa yang berlaku pada malam itu. Namun, di dalam hati, aku tahu satu perkara – harta karun itu bukan hanya tentang emas. Ada sesuatu yang lebih gelap yang menjaga ia.

Tok Ali dan Pak Ajis hanya berdiam diri sepanjang perjalanan pulang. Hati kami semua tidak pernah sama selepas pengalaman malam itu. Harta karun itu tetap menjadi misteri, dan kami tahu mungkin, ada hikmah yang lebih besar di sebalik pencarian yang gagal ini.

Sejak itu, Tok Ali tidak lagi membicarakan soal harta karun. Kesibukannya mengajar silat di sekolah-sekolah dan universiti membuatkan dia lupa akan pencariannya. Namun, bagi aku, pengalaman malam itu tetap membekas, membawa bersama kisah tentang harta yang dijaga oleh sesuatu yang tidak boleh dilihat oleh mata kasar – sesuatu yang lebih gelap daripada apa yang pernah kami bayangkan.

Tamat














           

SIRI SERAM: Nenek Bongkok: Warisan Ilmu Laut yang Terlarang"

Nenek Bongkok: Warisan Ilmu Laut yang Terlarang"

Pada tahun 1985, aku tinggal di sebuah kampung kecil di pinggir Bandar Melaka, iaitu Kampung Solok Musai. Ketika itu, Melaka masih belum diisytiharkan sebagai bandaraya, dan kawasan sekitar rumahku dipenuhi sawah padi yang luas. Kehidupan kampung sangat sederhana, tetapi penuh dengan kenangan yang takkan aku lupakan.

Setiap petang, kanak-kanak seperti aku akan berkumpul di hadapan rumah, bermain kejar-kejar, dan kadang-kadang bermain ting-ting. Kami juga suka mengintai abang-abang kampung yang pergi menangkap ikan haruan dan ikan betuk di sawah. Namun, ada satu sosok yang selalu hadir dalam keriuhan kami—nenek bongkok, seorang wanita tua yang tinggal tidak jauh dari rumah kami.

Nenek bongkok ini berusia dalam lingkungan 90-an. Dengan tubuh bongkok tiga dan memakai kain tanjak di kepala, berbaju kurung Kedah lusuh serta berkain batik, dia menjadi sebahagian daripada pemandangan harian kami. Walaupun sudah tua, dia masih boleh berjalan perlahan menggunakan tongkat dan sering meminta bantuan kami untuk mengalihkan pasu atau membersihkan kawasan rumahnya yang luas.

Nenek ini tinggal di sebuah rumah tradisional Melayu Melaka yang mempunyai anjung dan ruang bawah. Namun, yang anehnya, dia hanya tidur di bahagian bawah, sedangkan ruang atas rumah itu sepi dan dibiarkan begitu sahaja. Setiap minggu, nenek akan memanggil aku untuk menolongnya, tetapi ada satu perkara yang menakutkan—rumah nenek ini selalu terasa sepi dan sunyi, seolah-olah ada sesuatu yang tidak kena.

Aku tidak pernah merasa takut walaupun tinggal di kampung yang agak sunyi dan penuh dengan pokok-pokok besar yang menaungi jalan. Selepas pukul 7 malam, tiada lagi kanak-kanak yang berani keluar rumah. Namun, malam itu, segalanya berubah.

Selepas aku menolong nenek menyiapkan makanan untuk upacara yang tidak aku fahami, aku diminta untuk memanjat ke atas bumbung rumah nenek. Di sanalah aku akan menukar bekas makanan lama dengan yang baru. Setiap minggu aku melakukan kerja ini tanpa banyak soal. Tetapi, sejak kebelakangan ini, aku sering mendengar langkah kaki yang mundar-mandir di anjung rumah nenek pada waktu malam. Kami sekeluarga sering terjaga dari tidur mendengar suara orang bercakap dalam bahasa yang tidak kami fahami—seperti bahasa orang asli.

Suatu hari, nenek datang ke rumah kami. Dia bertanya tentang ayahku, dan selepas itu, dia duduk berbincang dengan abah. Nenek bongkok berkata dengan suara terketar-ketar, "Aku dah lama perhatikan kau, Mat. Rasanya kau je yang sesuai..."

Kemudian, nenek mula membaca sesuatu dalam bisikan yang semakin dalam. Tiba-tiba, dia berubah. Badannya tegak, wajahnya lebih muda, dan suara yang keluar dari mulutnya bukan lagi suara nenek bongkok yang kami kenal. Dia mengaku sebagai Puteri Laut Dalam dan menawarkan ilmu pengasih serta kekuatan badan kepada abah. "Aku hadiahkan ilmu ini, tapi hanya untuk yang layak," kata Puteri itu.

Abah mendengarkan dengan serius, dan kami semua terpaku, tidak percaya dengan apa yang kami dengar. Puteri itu menyebut sesuatu tentang "ancak"—sejenis makanan yang ditempatkan di atas rumah atau di sungai untuk mendapatkan rezeki dan menghindari bahaya di lautan. Nenek—atau lebih tepat, Puteri Laut Dalam—memandang kami dengan mata yang tajam, seolah-olah menyimpan rahsia yang sangat berat. Ketika dia beredar, senyumannya menghantui aku sepanjang malam.

Tidak lama selepas itu, nenek kembali menjadi nenek bongkok yang kami kenal. Abah menolak tawaran tersebut dengan baik, tetapi aku dapat merasakan ada sesuatu yang lebih besar sedang berlaku. Ilmu yang nenek wariskan bukanlah sesuatu yang harus diambil ringan.

Pada tahun 1996, kami sekeluarga berpindah, dan nenek bongkok meninggal dunia pada usia yang lebih dari 100 tahun. Namun, dalam perjalanan pulang ke kampung pada tahun 2016, aku melihat rumah nenek yang sudah ditinggalkan. Akar-akar pokok melilit dindingnya, dan suasananya begitu menyeramkan. Ketika aku memerhatikan cermin motor, aku terlihat bayangan seorang tua yang sedang memerhati dari dalam rumah—seperti nenek bongkok.

Aku segera memecut motor dengan kelajuan tinggi, tetapi hati ini tidak pernah tenang selepas itu. Kenangan tentang nenek bongkok dan ilmu yang dia wariskan masih menghantui aku hingga ke hari ini.

FUD AHMAD